Isnin, 27 November 2017 | 1:20pm
Ketua Pegawai Operasi SPAD, Qamar Wan Noor. - Foto Zunnur Al Shafiq
Ketua Pegawai Operasi SPAD, Qamar Wan Noor. - Foto Zunnur Al Shafiq
QAMAR Wan Noor (kiri) bertanyakan pendapat pengguna MRT. - Foto Zunnur Al Shafiq
QAMAR Wan Noor (kiri) bertanyakan pendapat pengguna MRT. - Foto Zunnur Al Shafiq

myBAS di dua negeri tahun depan

KUALA LUMPUR: myBAS, Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), bakal beroperasi di Kuala Terengganu, Terengganu dan sebuah negeri lagi pada suku kedua tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Qamar Wan Noor, berkata myBAS bakal memanfaatkan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di dua negeri itu.

Katanya, lokasi baharu itu adalah tambahan kepada program yang sudah dilaksanakan di Kangar, Perlis, Seremban, Negeri Sembilan dan Ipoh, Perak sejak 2015.

"Program ini bagi membantu pengguna di luar Lembah Klang menikmati transformasi pengangkutan awam darat dari segi kemudahan dan kualiti.

"Kita akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan bas di bandar dan berdasarkan program myBAS di beberapa negeri sebelum ini, maklum balas yang kami terima sangat menggalakkan.

"Buat masa ini, kita masih dalam proses kelulusan bersama. Ia bakal menjadi tunjang perkhidmatan awam negara menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50) apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak," katanya kepada BH, hari ini.

Qamar berkata, myBAS adalah antara inisiatif kerajaan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang tidak membebankan pengguna.

Sesuai dengan hasrat menuju negara maju, katanya, pelaksanaan myBAS berupaya menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan kenderaan awam.

Sementara itu, Qamar berkata, pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 akan diwartakan Januari tahun depan untuk perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grab Car.

"Kita perlu mengetatkan penguatkuasaan untuk perkhidmatan e-hailing sama seperti yang dijalankan terhadap perkhidmatan teksi kerana ada laporan membabitkan salah laku dalam kalangan pemandu e-hailing.

"Dengan adanya pindaan ini, SPAD dapat mengumpul maklumat dan mengawal selia pemandu e-hailing. Jika ada pemandu yang mempunyai rekod jenayah dan salah laku dalam pemanduan, SPAD tidak akan mengeluarkan kad pemandu," katanya.

Berita Harian X