Selasa, 14 November 2017 | 7:00am

Adam rindu mama

ALOR GAJAH: Empat tahun sudah berlalu, namun kerinduan seorang kanak-kanak, Adam Noramzar Syahrizal, yang sebelum ini berulang alik hampir setiap hari ke pusara ibunya, tidak pernah pudar.

Adam yang kini berusia sembilan tahun dan dijaga oleh neneknya, Kamariah Haroon, 58, sudah dapat menerima hakikat pemergian ibunya, Norzalina Ismail.

Jika dulu dia menziarahi pusara ibunya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah neneknya di Taman Sebang Gemilang, Pulau Sebang pada setiap hari, kini atas nasihat pelbagai pihak, Adam hanya pergi pada hari tertentu.

Ketika ditemui di rumah neneknya, Adam yang tidak banyak bersuara kini lebih mengerti dan reda dengan pemergian insan paling disayanginya serta mengehadkan hari-hari tertentu untuk menziarahi pusara ibunya.

"Jika dulu saya ke pusara mama setiap hari tanpa mengira waktu kerana rindu untuk 'berborak', selain memegang, mengusap dan memeluk batu nesan untuk meluahkan rasa kasih.

ADAM mengucup gambar Norzalina kerana terlalu rindukan Allahyarham ibunya. - Foto Norizzah Baharudin
ADAM mengucup gambar Norzalina kerana terlalu rindukan Allahyarham ibunya. - Foto Norizzah Baharudin

"Walaupun tiada sahutan daripada mama, saya luahkan apa saja padanya. Sekarang saya akan menziarah pusara mama pada petang Khamis selepas tamat kelas al-Quran dan pagi Jumaat sebelum ke sekolah," katanya dalam nada sebak.

Norzalina meninggal dunia pada Januari 2013 pada usia 32 tahun akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, manakala suaminya, Syahrizal Ibrahim, meninggal dunia pada 2009, ketika berusia 29 tahun.

Kisah pilu anak yatim piatu itu mendapat liputan meluas media dan menarik perhatian umum sejak disiarkan BH pada 24 Ogos 2013, termasuk Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, Kerajaan Melaka dan badan bukan kerajaan (NGO).

Murid Sekolah Kebangsaan Padang Sebang itu tidak berselindung mengenai kerinduan terhadap ibunya.

"Hari-hari Adam cium gambar mama. Adam rindu. Dulu mama peluk Adam bila tidur. Sekarang dah tak ada macam tu.

"Tapi sekarang Adam sudah boleh terima yang mama sudah tiada lagi, Biarlah mama tenang di sana dan Adam di sini berjanji akan berkelakuan baik dan mendengar nasihat Mak Wan (nenek)," katanya.

LAPORAN BH pada Ogos 2013.
LAPORAN BH pada Ogos 2013.

Sementara itu, Kamariah mengakui cucunya itu kerap termenung kerana terlalu rindukan Allahyarham ibunya.

"Atas nasihat kawan, saya terpaksa membataskan hasrat Adam melawat pusara ibunya setiap hari kerana bimbang fikirannya terganggu," katanya.

Kamariah turut berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan sumbangan kepada cucunya itu setiap bulan.

ADAM yang kini berusia sembilan tahun dan dijaga oleh neneknya, Kamariah Haroon. - Foto Norizzah Baharudin
ADAM yang kini berusia sembilan tahun dan dijaga oleh neneknya, Kamariah Haroon. - Foto Norizzah Baharudin
LAPORAN BH pada Ogos 2013.
LAPORAN BH pada Ogos 2013.
LAPORAN BH pada Julai 2014.
LAPORAN BH pada Julai 2014.
Berita Harian X