Ahad, 12 November 2017 | 5:58pm
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA

TPM sampaikan ucaptama pada WCES 2017 Hong Kong

HONG KONG: Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) kesembilan yang berlangsung di Wilayah Pentadbiran Khas Republik Rakyat China di sini selama dua hari bermula esok.

Sebelum ini ia dikenali sebagai Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) yang dicetuskan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) lapan tahun lalu.

Matlamat utama WCES adalah untuk mengembangkan platform dan hubungan perniagaan antara China dan negara Asia Tenggara serta China dan Eropah sejajar dengan Inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan (OBOR).

Selain itu, WCES mempromosi dialog global dan serantau berkaitan kebangkitan dan peranan China sebagai ekonomi kedua terbesar dunia. Ia juga membawa bersama diaspora global China serta mempromosi keusahawanan dan inovasi menerusi rangkaian perniagaan, perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik.

Sejak lapan tahun lalu, WCES pernah diadakan di Malaysia, China, Australia dan United Kingdom. WCES adalah platform diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk perniagaan, kemudahan perdagangan dan pelaburan bagi membangunkan perkongsian baharu.

Memetik kenyataan Ketua Eksekutif ASLI, Tan Sri Michael Yeoh ketika sidang media WCES 2017 di Kuala Lumpur bulan lalu, sidang kemuncak kali ini akan memfokuskan untuk membangun serta meraih peluang baharu pertumbuhan ekonomi sambil mengenal pasti cabaran global akan datang.

Yeoh berkata, WCES 2017 akan menampilkan lebih 100 penceramah terkenal dari 30 negara yang akan berkongsi pelbagai topik termasuk inisiatif OBOR, keusahawanan dan ekonomi digital.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucaptama khas pada WCES 2017 kali ini.

Menerusi mesej khas pada WCES 2017 yang bertajuk 'Managing Global Uncertainty: Exploring New Opportunities' (Mengurus Ketidaktentuan Global: Meneroka Peluang Baharu), Yeoh berkata, lokasi ini dipilih sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) Hong Kong yang melengkapi FTA China ASEAN (CAFTA).

"CAFTA mempercepatkan perdagangan antara China dan ASEAN dengan China kini adalah rakan dagang terbesar untuk ASEAN.

"Saya yakin FTA ASEAN Hong Kong yang ditandatangani ketika di luar sidang kemuncak ASEAN minggu ini di Manila akan turut meluaskan hubungan dagang dan pelaburan antara ASEAN dan Hong Kong," katanya menerusi catatan dalam buku ucapan WCES 2017.

Penceramah lain termasuk bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, bekas Presiden Pakistan, Jeneral Pervez Musharraf, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam dan Gabenor Victoria, Australia, Linda Dessau.

Turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan khas adalah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang juga penasihat WCES.

Tiong Lai sebelum ini berkata, sebagai ketua Pasukan Khas Logistik Kebangsaan, beliau akan mempromosi sektor logistik Malaysia dan Zon Dagangan Bebas Digital, pertama di luar China dalam sidang kemuncak berkenaan.

Pada majlis makan malam pula, Anugerah Pencapaian Seumur Hidup China Dunia akan disampaikan kepada bekas Ketua Eksekutif Hong Kong, CY Leung manakala Anugerah Kebaikan Khas WCES diberi kepada Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla. -ends

Berita Harian X