Jumaat, 3 November 2017 | 7:00am

Amir Keling semakin terbela

TANGKAK: "Alhamdulillah, kehidupan kami bertambah baik".

Itu kata-kata Muhammad Nor apabila ditanya keadaan terkini kehidupan bapanya, Amir Keling, 57, serta adik-beradiknya selepas kisah penderitaan mereka disiarkan BH, kira-kira 16 tahun lalu sehingga mendapat simpati pelbagai pihak yang kemudian tampil memberi bantuan.

"Sejak itu, kami menerima pelbagai bantuan yang membolehkan kehidupan kami agak selesa berbanding dahulu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Kepong dekat sini.

Pada 2001, BH menyiarkan penderitaan tujuh beradik yang hidup dalam keadaan daif, selain terpaksa menjaga bapa mereka, Amir, yang pekak dan bisu yang cedera parah akibat dilanggar lori ketika bekerja sebagai pemotong rumput di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Kisah penderitaan tujuh beradik itu mendapat perhatian masyarakat yang kemudiannya menyalurkan pelbagai jenis bantuan termasuk pembinaan rumah lebih selesa, sekali gus membolehkan keluarga itu menjalani kehidupan lebih selesa.

Amir turut menerima tanah kebun seluas kira-kira 0.8 hektar daripada kerajaan yang kini diusahakan dengan tanaman sawit.

Muhammad Nor, 24, berkata bantuan diterima digunakan sebaik mungkin bagi kegunaan rawatan bapanya yang ketika itu parah selepas dilanggar lari sebuah lori ketika bekerja sebagai pemotong rumput di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

AMIR menunjukkan keratan akhbar BH terbitan 23 Disember 2001 mengenai berita kisah hidupnya di Kampung Paya Kepong. - Foto Adi Safri
AMIR menunjukkan keratan akhbar BH terbitan 23 Disember 2001 mengenai berita kisah hidupnya di Kampung Paya Kepong. - Foto Adi Safri

Bantuan turut digunakan bagi tujuan persekolahan semula semua tujuh beradik itu, selain bagi menampung kos sara hidup lain seperti makanan dan pakaian.

"Dalam banyak-banyak bantuan yang kami terima, rumah inilah yang paling bermakna sekali kerana ia membolehkan kami hidup dan membesar sehingga apa yang dapat dilihat pada hari ini.

"Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk BH kerana membantu kami menjalani kehidupan yang sangat berbeza daripada apa yang kami lalui sebelum ini," katanya.

Muhammad Nor berkata, walaupun hanya berusia kira-kira lapan tahun pada waktu itu, dia memahami keperitan hidup yang dialami keluarganya terutama dua kakaknya yang bertungkus lumus menjaga adik yang masih kecil dan bapanya yang terlantar sakit.

"Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku. Saya kira, kalau tidak ada bantuan berkenaan, mungkin kehidupan kami masih macam dahulu. Kami semua dapat bersekolah semula dan menerima kemudahan kerajaan seperti skim pinjaman buku teks dan program makanan tambahan, selain beberapa keperluan lain," katanya.

Muhammad Nor berkata, empat kakaknya kini sudah berkeluarga, manakala dua lagi adik lelaki yang belum berkahwin juga sudah bekerja termasuk dia sendiri yang bekerja sebagai juru ukur di syarikat pembinaan di Johor Bahru.

Terdahulu, kunjungan penulis buat kali kedua disambut dengan perasaan teruja oleh Amir dan Muhammad Nor serta dua lagi anaknya, Muhammad Ridzuan, 21, dan Muhammad Faizal, 18, yang secara kebetulan berada bersama.

Walaupun tidak mampu bercakap dan mendengar, Amir tetap memberikan reaksi bahasa tubuh setiap kali penulis bertanyakan soalan kepada keluarga terbabit.

AMIR (dua dari kiri) meluangkan masa bersama anaknya, Muhammad Noor (kanan), Muhammad Ridzuan (kiri) dan Muhammad Faizal (dua dari kanan) di Kampung Paya Kepong, Tangkak. - Foto Adi Safri
AMIR (dua dari kiri) meluangkan masa bersama anaknya, Muhammad Noor (kanan), Muhammad Ridzuan (kiri) dan Muhammad Faizal (dua dari kanan) di Kampung Paya Kepong, Tangkak. - Foto Adi Safri

SUASANA sambutan Aidilfitri keluarga Amir di Kampung Paya Kepong, Tangkak. - Foto ihsan Muhammad Nor Amir
SUASANA sambutan Aidilfitri keluarga Amir di Kampung Paya Kepong, Tangkak. - Foto ihsan Muhammad Nor Amir

Keterujaan Amir juga lebih terserlah ketika apabila ketiga-tiga anaknya bertindak sebagai perantara dan menjadi jurubahasa ketika perbualan berlangsung.

Ketika perbualan seronok bercerita, Amir dan anaknya kadang-kala menjadi sebak ketika mengimbau kembali peristiwa yang berlaku terhadap keluarga 16 tahun lalu.

Pada masa sama, mereka mengucapkan terima kasih kepada BH kerana membongkar kisah hidup mereka sehingga menyebabkan kehidupan mereka berubah 100 peratus.

Bagi keluarga Amir, kemalangan yang menimpanya boleh dianggap sebagai satu tragedi, tetapi kejadian itu jugalah yang menyebabkan kehidupan keluarganya berubah 360 darjah hingga menyebabkan masa depan keluarganya yang lebih baik.

Mengenai bapanya, Muhammad Nor berkata, kecederaan dialami bertambah baik dan boleh berjalan tetapi tidak sekuat dulu, selain boleh membuat kerja ringan seperti meracun atau menebas rumput.

"Alhamdulillah, sampai sekarang pun amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu khususnya BH sehingga kehidupan kami berubah dengan lebih baik. Terima kasih," katanya.

AMIR (dua dari kiri) melihat keratan akhbar BH mengenai laporan kehidupan mereka bersama anaknya, Muhammad Noor (kanan), Muhammad Ridzuan (kiri) dan Muhammad Faizal (dua dari kanan) . - Foto Adi Safri
AMIR (dua dari kiri) melihat keratan akhbar BH mengenai laporan kehidupan mereka bersama anaknya, Muhammad Noor (kanan), Muhammad Ridzuan (kiri) dan Muhammad Faizal (dua dari kanan) . - Foto Adi Safri
AMIR (tengah) kelihatan sebak bersama anaknya, Norahayu Amir (kiri) dan Mohd Ridzuan Amir (kanan) di Kampung Paya Kepong. - Foto Adi Safri
AMIR (tengah) kelihatan sebak bersama anaknya, Norahayu Amir (kiri) dan Mohd Ridzuan Amir (kanan) di Kampung Paya Kepong. - Foto Adi Safri
KERATAN akhbar BH terbitan 23 Disember 2001 mengenai kisah hidup Amir Keling di Kampung Paya Kepong, Tangkak. - Foto Adi Safri
KERATAN akhbar BH terbitan 23 Disember 2001 mengenai kisah hidup Amir Keling di Kampung Paya Kepong, Tangkak. - Foto Adi Safri
Berita Harian X