Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:03pm
HOSPITAL Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor.
HOSPITAL Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor.

HPSF bakal miliki dewan bedah modular

MUAR: Tempoh menunggu bagi pesakit yang perlu menjalani pembedahan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dijangka dapat disingkatkan menerusi pembinaan dewan bedah modular di hospital berkenaan.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM1.4 bilion kepada tiga hospital termasuk HPSF, Hospital Banting dan Hospital Balik Pulau bagi projek naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti kesihatan, peralatan perubatan, ambulans dan dewan bedah modular itu akan memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih efektif kepada masyarakat.

Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr Selahuddeen Abdul Aziz, berkata pihaknya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peruntukan yang dilihat dapat menambah baik operasi dan perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan.

"Peruntukan ini khususnya membabitkan dewan bedah modular dijangka dapat mengurangkan tempoh menunggu bagi pesakit yang perlu menjalani proses pembedahan khususnya membabitkan kes orthopedik.

"Ia sekali gus akan membolehkan HPSF dapat menguruskan kes trauma dengan lebih cepat. Sebelum ini, kita terpaksa memberi keutamaan kepada kes yang lebih serius seperti pesakit yang mendapat kecederaan luka atau pendarahan terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM1.4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sesi pembentangan Bajet 2018 sebentar tadi.

Dr Selahudden berkata, selain itu peruntukan yang diberikan kepada tiga hospital termasuk HPSF ini juga akan membolehkan pihaknya memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat secara keseluruhan dengan lebih baik.

Berita Harian X