Rabu, 12 Julai 2017 | 12:59pm

Dasar luar Malaysia perlu terus diperkasa - Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhizzudin Shah bertitah pada Majlis Titah Amanat 2017 bertema 'Diplomasi Abad ke-21' anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhizzudin Shah bertitah pada Majlis Titah Amanat 2017 bertema 'Diplomasi Abad ke-21' anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dasar luar dan diplomasi Malaysia perlu diperkasakan bagi menjamin keamanan dunia dan negara serantau yang lebih baik pada masa depan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, bertitah usaha ini boleh dijayakan secara menyeluruh bersama negara jiran dan serantau.

"Beberapa elemen sudah berada di tempatnya. Dasar ini juga perlu mengutamakan kebajikan manusia, bukan negara sahaja.

"Negara adalah asas dan instrumen untuk mencapai matlamat ditetapkan. Ia juga perlu mengambil kira aspek keamanan, kemakmuran dan keadilan selari dengan undang-undang antarabangsa," titah baginda.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menyampaikan titah ucapan di majlis IDFR Royal Adderess 2017 'Diplomasi Abad ke-21' di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR). - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menyampaikan titah ucapan di majlis IDFR Royal Adderess 2017 'Diplomasi Abad ke-21' di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR). - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Baginda bertitah pada Majlis Titah Amanat 2017 bertema 'Diplomasi Abad ke-21' anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di sini , hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Ramlan Ibrahim; dan Ketua Pengarah IDFR, Datuk Mohamad Sadik Kethergany.

Baginda yang juga Penaung IDFR bertitah, dasar itu perlu tegas menjadikan perang sebagai jenayah melainkan ia terpaksa untuk mempertahankan diri.

Baginda turut mencadangkan bidang diplomasi ditransformasikan untuk disesuaikan dengan perubahan pada abad ke-21 bagi memastikan keamanan dan kemakmuran kehidupan sejagat dipelihara pada masa depan.

Baginda bertitah, ideanya adalah dengan melakukan projek penyelidikan membabitkan dua aspek.

"Pertama, menilai sumbangan bagi mengangkat paradigma yang mengikat hubungan antara negara bagi mengurus keamanan dan keselamatan global.

"Kedua, menimbang kemungkinan ada model alternatif yang relevan kepada persekitaran yang strategik dan menghasilkan impak yang lebih baik," katanya.

Sultan Nazrin turut bertitah agar golongan diplomat tidak meminggirkan pengaruh media terutama media baharu dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyusun strategi diplomasi masa akan datang.

"Media sosial menjadi alat penting dalam landskap abad ke-21. Ia menjadi sangat relevan dalam menyebarkan maklumat dan pandangan," katanya.

Berita Harian X