Jumaat, 7 Julai 2017 | 9:13pm

UUM disenarai dalam THE APAC Ranking 2017

NAIB Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. - Foto NSTP
NAIB Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. - Foto NSTP

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah apabila disenaraikan di kedudukan ke-200+ dalam edisi pertama Times Higher Education (THE) Asia-Pacific University Ranking 2017 yang diumumkan hari ini.

Berdasarkan kaji selidik yang dikeluarkan oleh THE, UUM berada di kedudukan 200+ dalam penilaian yang membabitkan 243 universiti daripada 13 negara di rantau Asia-Pasifik.

THE APAC Rankings 2017 mengguna pakai 13 indikator yang dikelompokkan kepada lima kategori dalam menilai sesebuah universiti iaitu mengajar (persekitaran pembelajaran), penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), petikan (pengaruh penyelidikan), pandangan antarabangsa (kakitangan, pelajar dan penyelidikan) dan pendapatan industri (pemindahan pengetahuan).

Pengarah Editorial Global Ranking THE, Phil Baty, berkata universiti yang tersenarai di dalam Asia-Pasific Ranking untuk edisi pertama adalah satu pencapaian yang hebat.

"Ranking ini mewakili 243 institusi terbaik dan memberi gambaran mengenai negara dan universiti yang dijangka menjadi peneraju pengajian tinggi dunia pada masa hadapan.

"Tiada keraguan bahawa sebahagian daripada universiti ini yang berada dalam rantau Asia Pasifik berjaya membuktikan mereka adalah universiti yang dinamik dan kompetitif," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata penyenaraian dalam edisi pertama THE APAC Ranking 2017 adalah satu sejarah dan amat membanggakan buat UUM.

Beliau berkata, penyenaraian dalam ranking ini meletakkan UUM setaraf dengan universiti terkemuka lain seperti Sophia University Japan, University Seoul, Universiti Kansai Jepun, Universiti Meiji, University of Philippines dan Universiti Indonesia.

"Diharap semua warga UUM dapat terus bekerja keras bukan sahaja untuk meningkatkan ranking UUM, bahkan juga untuk mencapai pelbagai kejayaan lain," ujarnya.

Berita Harian X