Jumaat, 28 April 2017 | 2:50pm

4 syarikat jadi stok penimbal

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin bergambar bersama mahasiswa selepas melancarkan program Bakat dan Kemahiran Usahawan Varsiti (VEST) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). - Foto Hazreen Mohamad
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin bergambar bersama mahasiswa selepas melancarkan program Bakat dan Kemahiran Usahawan Varsiti (VEST) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). - Foto Hazreen Mohamad

BANDAR BARU NILAI: Empat syarikat pembekal minyak masak paket dilantik sebagai stok penimbal bagi memastikan bekalan bahan itu sentiasa mencukupi di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata syarikat berkenaan akan menghantar minyak masak paket dengan segera ke kawasan yang berlaku masalah kekurangan bekalan.

Sehubungan itu, katanya, syarikat terbabit dibenarkan mengeluarkan bekalan minyak masak paket satu kilogram melebihi kuota yang ditetapkan.

"Memang kadang-kadang berlaku masalah bekalan tidak cukup selama sehari atau dua hari di kawasan tertentu kerana pelbagai sebab seperti ada pihak membeli dalam jumlah yang banyak untuk mengadakan majlis tertentu atau kenduri.

"Sebab itu, kita wujudkan stok penimbal yang berfungsi untuk menghantar bekalan minyak masak dengan segera ke kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bakat dan Kemahiran Keusahawanan Varsiti 2017 (VEST 2017) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Hamzah berkata demikian demikian ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan bekalan minyak masak paket di pasar raya dan kedai runcit sekitar daerah ini.

Peniaga mendakwa keadaan itu berlaku kerana pembekal menyorokkan bekalan.

Beliau berkata, kementerian akan menyiasat dakwaan itu mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 bagi individu dan RM500,000 bagi syarikat serta penjara maksimum tiga tahun.

Berita Harian X