Sabtu, 22 April 2017 | 8:20pm

Pertandingan Bicara Berirama UMT: 5 SBP masuk final

KUALA LUMPUR: Empat Sekolah Menengah Sains (SMS) dan Sekolah Tun Fatimah berjaya ke peringkat akhir Pertandingan Bicara Berirama anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merebut Piala Datuk Nor Aieni Mokhtar, hari ini.

SMS Kuala Selangor, SMS Muzaffar Shah, SMS Pasir Puteh dan SMS Tapah berjaya mengalahkan 61 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) lain bagi mewakili zon masing-masing untuk berentap pada peringkat akhir yang akan diadakan di UMT, Kuala Terengganu, 6 Mei ini.

Sekolah Tun Fatimah pula dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang dipersetujui penganjur.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Bicara Berirama UMT Peringkat Kebangsaan, Noraini Ahmad, berkata pertandingan julung kali diadakan itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan pemuliharaan lautan bagi kelangsungan alam sekitar.

"Pertandingan ini diharap dapat menarik minat, memberikan kesedaran dan menambah ilmu pengetahuan kepada pelajar mengenai bidang kelautan serta kepentingan pemuliharaan lautan untuk kelestarian masa depan.

"Selain itu, penggunaan bahasa Inggeris sebagai syarat penyertaan pertandingan diharap dapat meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertandingan Bicara Berirama UMT peringkat kebangsaan itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membabitkan pelajar daripada 65 SBP dan Sekolah Kecemerlangan Malaysia.

Penganjuran pertandingan itu bersempena dengan sambutan Minggu Lautan Sedunia (WOW) yang disambut setiap tahun oleh UMT bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk terbabit secara langsung dalam inisiatif melindungi alam sekitar khususnya biodiversiti marin.

Pemilihan peringkat zon diadakan di empat SBP secara serentak dan pemenang peringkat zon dipilih berdasarkan kandungan skrip dengan mengambil tema WOW iaitu 'Our Oceans, Our Future' dan persembahan kreatif setiap kumpulan.

INFO:

Pemenang Pertandingan Bicara Berirama UMT (Peringkat Zon)

Zon A

Johan - SMS Kuala Selangor

Naib Johan - Sekolah Seri Puteri

Tempat ke 3 - Sekolah Sultan Alam Shah

Zon B

Johan - SMS Muzaffar Shah

Naib Johan - Sekolah Tun Fatimah

Tempat Ke 3 - SMS Muar

Zon C

Johan - SMS Pasir Puteh

Naib Johan - SMS Tengku Muhammad Faris Petra

Tempat ke 3 - SMS Dungun

Zon D

Johan - SMS Tapah

Naib Johan - Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu

Tempat ke 3 - Sekolah Tuanku Abdul Rahman

Berita Harian X