Jumaat, 31 March 2017 | 6:40pm

Pemandu teksi ada pilihan tak guna meter

PENGERUSI Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyampaikan lesen individu kepada pemandu teksi wanita, Salmah Nawadin 58, ketika majlis serahan 300 lesen individu kepada pemandu teksi yang keluar sistem pajak di bawah Program Transformasi Industri Teksi di PERSADA PLUS. Turut bersama, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi boleh menjalankan perkhidmatan tanpa menggunakan meter sekiranya memilih untuk menggunakan sistem e-hailing.

Itu adalah antara pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan Kabinet hari ini, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pindaan itu memberi pilihan kepada pemandu teksi untuk kekal menggunakan sistem tambang bermeter seperti sekarang atau menggunakan e-hailing.

"Kalau guna e-hailing, pemandu teksi akan guna sistem tambang yang sama dengan Uber dan Grab. Tapi mereka hanya boleh ambil penumpang melalui sistem itu, tidak boleh ambil penumpang di tepi jalan.

"Ketika ini, tambang teksi ada caj permulaan yang berbeza mengikut jenis teksi iaitu RM3 (teksi Bajet), RM6 (teksi Premier) dan RM8 (teksi Eksekutif) yang meningkat ikut tempoh perjalanan.

"Selepas pindaan undang-undang ini diluluskan, pemandu teksi bebas nak guna sistem yang mana supaya mereka boleh bersaing dan menambah pendapatan.

"Aplikasi e-hailing kita kawal, ..pemandu perlu ada kad pemandu dan perlindungan insurans penumpang tetapi kita tidak kawal tambangnya," katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan Bagi Permit Teksi Individu di Persada PLUS di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Berita Harian X