Jumaat, 31 March 2017 | 5:42pm

30,000 pemandu teksi sendirian 5 tahun lagi

PENGERUSI Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar bergambar bersama pemandu teksi selepas majlis serahan 300 lesen individu dan juga geran tunai kerajaan RM5000 kepada pemandu teksi untuk membeli kenderaan baru di PERSADA PLUS. - Foto Sairien Nafis
PENGERUSI Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar bergambar bersama pemandu teksi selepas majlis serahan 300 lesen individu dan juga geran tunai kerajaan RM5000 kepada pemandu teksi untuk membeli kenderaan baru di PERSADA PLUS. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyasarkan untuk meluluskan 30,000 lesen teksi individu kepada pemandu teksi dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata lesen teksi individu itu adalah bagi menyelesaikan isu dibangkitkan pemandu teksi mengenai sistem pajak yang membebankan mereka hingga tidak mampu bersaing dengan perkhidmatan Uber dan Grab.

Katanya, pemberian lesen teksi individu yang juga sebahagian inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) akan membolehkan pemandu teksi tidak lagi terikat dengan sistem pajak, sekali gus boleh bersaing dengan lebih adil.

"SPAD cuba buat macam-macam untuk menyekat kehadiran (Uber dan Grab) tapi tak boleh kerana ia bukan saja wujud di sini, bahkan fenomena dunia.

"Jadi kita kena berubah dan salah satunya membolehkan pemandu teksi yang layak keluar daripada sistem pajak, sekali gus boleh bersaing dengan adil," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan Bagi Permit Teksi Individu di Persada PLUS di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Pada majlis itu, Syed Hamid menyampaikan lesen teksi individu kepada 300 pemandu teksi yang menamatkan tempoh kontrak pajak serta menepati syarat kelayakan.

Mereka turut menerima geran tunai kerajaan berjumlah RM5,000 bagi membantu pemandu teksi yang menerima lesen individu membeli kenderaan baharu untuk digunakan sebagai teksi.

SPAD menerima 3,007 permohonan untuk lesen teksi individu sejak Ogos tahun lalu.

Berita Harian X