Sabtu, 11 Februari 2017 | 2:02pm

Lulusan TVET miliki masa depan cerah

 MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) ketika merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2017 (Zon Timur) di perkarangan Pusat Beli-Belah Aeon Mall di Lembah Sireh, Kota Bharu, pagi tadi. - Foto Syamsi Suhaimi
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) ketika merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2017 (Zon Timur) di perkarangan Pusat Beli-Belah Aeon Mall di Lembah Sireh, Kota Bharu, pagi tadi. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melihat sektor pendidikan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional semakin penting sebagai saluran pelajar mendapat pekerjaan.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kerajaan meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai sektor pendidikan peringkat tinggi yang semakin penting terhadap kemajuan serta pembangunan negara.

Beliau berkata, pelajar tidak harus berasa kekurangan memilih TVET kerana ia mempunyai masa depan cerah dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi.

"TVET mempunyai masa depan baik, malah 60 peratus peluang pekerjaan menerusi tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) adalah daripada (lulusan) vokasional dan teknikal," katanya.

Beliau berkata dmeikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2017 `Jom Masuk IPT' anjuran KPT di perkarangan AEON Mall di sini, hari ini.

Idris berkata, rakyat tidak perlu malu memilih belajar di universiti tempatan kerana kedudukannya semakin meningkat dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Katanya, negara Asia Barat lebih berminat menghantar pelajar ke Malaysia berikutan kosnya satu pertiga lebih murah berbanding belajar di universiti Eropah, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

"Malah, cawangan universiti terbanyak beroperasi di Malaysia adalah dari UK dan jika kita terus memberi kualiti terbaik dalam bidang pendidikan tinggi negara, lebih ramai pelajar asing akan datang belajar di sini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) tidak menghadapi masalah kewangan dan mampu membiayai pinjaman pendidikan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dalam negara.

Menerusi beberapa pendekatan diambil pengurusan PTPTN dalam mengutip balik pinjaman, pihak berkenaan memperoleh kutipan berjumlah RM3.4 bilion tahun lalu.

"Kutipan itu melepasi sasaran RM2 bilion dan ini membuktikan PTPTN tidak ada masalah kewangan," katanya.

Berita Harian X