Khamis, 12 Januari 2017 | 12:01pm

Najib hadiri upacara pengebumian Adenan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbual dengan Puan Sri Jamilah Anu ketika menziarahi jenazah Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbual dengan Puan Sri Jamilah Anu ketika menziarahi jenazah Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kehilangan Tan Sri Adenan Satem amat ketara dirasa ketika menziarahi jenazah Allahyarham, malam tadi.

Dalam entri akaun Facebook rasminya, Perdana Menteri berkata, suasana itu jelas membuktikan pemergian Ketua Menteri Sarawak itu adalah kehilangan besar buat negara.

"Ziarah jenazah Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di rumah semalam, begitu ramai yang hadir.

"Dapat rasa suasana hiba bukan sahaja di sini, bahkan di seluruh negeri Sarawak.

Takziah Puan Sri Jamilah dan keluarga, semua yang hadir di sini dan juga di serata Malaysia berkongsi perasaan sedih atas pemergian seorang tokoh yang banyak berjasa. Al-Fatihah buat roh Allahyarham," katanya.

Adenan menghembuskan nafas terakhir di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Samarahan, jam 1.24 tengah hari semalam.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya dengan istiadat negeri, selepas Zuhur hari ini.

Berita Harian X