Rabu, 11 Januari 2017 | 5:25pm

Pembangkang turut ucap takziah

KUALA LUMPUR: Pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, turut dikongsi pemimpin pembangkang yang merakamkan ucapan takziah masing-masing.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengucapkan takziah kepada keluarga Adenan menerusi akaun Facebook rasminya.

"Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'afihi wa'fu'anhu. Takziah buat Puan Sri Jamilah Anu, keluarga dan seluruh rakyat Sarawak di atas pemergian Tan Sri Adenan Satem kerahmatullah hari ini. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan. Al-fatihah," katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali mendoakan Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh nikmat dalam akaun Twitter @AzminAli.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Sarawak dan Malaysia kehilangan seorang tokoh besar susulan kematian Ketua Menteri itu.

"Deepest condolences to bereaved family. Malaysia and Sarawak have lost great visionary leader," katanya menerusi akaun Twitter @limkitsiang.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengucapkan takziah.

"Innalillahi waiinnalillahi rojiun. Salam takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga serta rakyat Sarawak atas pemergian Tan Sri Adenan Satem ke rahmatullah," katanya dalam akaun Twitter @mohdshafieapdal.

Ketua Pesuruhjaya PAS Sarwak, Jofri Jaraiee turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Adenan.

"PAS Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau serta rakyat Sarawak agar terus tabah dan bersabar menghadapi ujian sebesar ini. Mungkin ramai yang masih terkilan kerana masih ramai lagi rakyat Sarawak terutama di luar bandar masih memerlukan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri," katanya.

Berita Harian X