Rabu, 4 Januari 2017 | 1:28pm

Isteri pemandu bas ekspres tidak ingat kemalangan

GEORGETOWN: "Saya tidak ingat langsung kemalangan itu kerana sedang tidur, " kata Miyarseh Kemat, 33, isteri kepada pemandu bas ekspres yang maut dalam tragedi di Pagoh pada 24 Disember lalu.

Miyarseh yang dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 28 Disember lalu, berkata beliau menemani suaminya, Zakeer Zubir, 32, kerana dimaklumkan tiada pemandu kedua sepanjang perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Bahru dan ke Kuala Lumpur.

"Sepanjang perjalanan itu, memang tiada langsung pemandu kedua. Saya temankan suami adalah kerana permintaan dia.

MIYARSEH Kemat, 33, isteri kepada pemandu bas ekspres yang maut dalam tragedi di Pagoh pada 24 Disember lalu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
MIYARSEH Kemat, 33, isteri kepada pemandu bas ekspres yang maut dalam tragedi di Pagoh pada 24 Disember lalu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

"Apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu saya rasa begitu sedih, namun reda dengan apa yang terjadi kepada suami dan anak kami, " katanya ketika ditemui di HPP, hari ini.

Terdahulu, Miyarseh menerima wang pampasan berjumlah RM1,500 dan wang pencen sebanyak RM1,300 yang akan diterima setiap bulan seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO ).

Sumbangan itu diserahkan Pengurus Pejabat PERKESO Pulau Pinang, Shaharuddin Waled.

Dalam kejadian pada 24 Disember lalu, bas ekspres yang dipandu Zakeer terbabit dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dan mengorbankan 14 nyawa.

Turut terkorban anak bongsu Zakeer, Nur Natasha Zahara, berusia setahun.

Berita Harian X