Isnin, 26 Disember 2016 | 4:04pm

Isteri pemandu bas makin pulih

ZAKEER Zubir dan isteri, Miase Kemart. - Foto Mikail Ong
ZAKEER Zubir dan isteri, Miase Kemart. - Foto Mikail Ong

MUAR: Isteri pemandu bas ekspres, yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 137.3 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, di sini, Sabtu lalu, mula menunjukkan perkembangan positif.

Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata Miaseh Kemart, 20-an, kini lebih stabil, selain sudah mula dapat menerima berita berkaitan kejadian itu, termasuk kehilangan suami dan anak bongsunya.

"Keadaan mangsa hari ini semakin stabil dan mula dapat menerima sedikit berita kejadian itu. Dia juga sudah kurang sedikit meracau dan masih menerima rawatan kaunseling daripada pakar psikologi.

"Mangsa masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPSF kerana mengalami trauma dan gangguan emosi serta kecederaan, termasuk patah dan luka di beberapa bahagian anggota badannya," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Selain Miaseh, empat lagi penumpang bas itu masih dirawat di HPSF iaitu R Nagadevan, 32, (Malaysia); Kesavan, 26, (Malaysia); R Govindra, 50, (India) dan Zaw Oo, 20, (Myanmar).

Dr Selahuddeen berkata, pihaknya hanya membenarkan ahli keluarga terdekat menemui mangsa berikutan keadaan kesihatan yang belum mengizinkan.

Berita Harian X