Isnin, 26 Disember 2016 | 2:07pm

Henti upah komisen pemandu bas - SPAD

PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar Syed Jaafar Albar. - Foto Hafiz Sohaimi
PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar Syed Jaafar Albar. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Operator bas ekspres digesa menghentikan budaya menawarkan upah berbentuk komisen bagi mengelakkan amalan mengejar jumlah perjalanan dalam kalangan pemandu bas.

Sebaliknya, mereka perlu menawarkan gaji pokok lebih tinggi kerana amalan mengejar perjalanan menjadi punca pemandu bas ekspres tidak cukup rehat dan keletihan hingga boleh menyebabkan berlaku kemalangan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata perkara itu diakui antara langkah penyelesaian bagi mengelakkan nahas bas ekspres di Kilometer 137.2 Lebuhraya Utara Selatan dekat Muar, Sabtu lalu, berulang.

"Kami sudah beritahu pada operator bas ekspres yang SPAD tak puas hati dengan mekanisme komisen kerana menggalakkan pemandu kejar perjalanan.

"Operator perlu digalakkan memberi gaji pokok lebih tinggi, namun bagi membolehkan perkara ini dilakukan, kerajaan perlu membenarkan tambang bas ekspres yang lebih fleksibal.

"Namun ini juga bukanlah langkah penyelesaian paling berkesan bagi mengurangkan kes kemalangan disebabkan keletihan kerana hakikatnya, jumlah pemandu bas ekspres tidak tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serahan Sumbangan Kepada Komuniti Rohingya di Sekolah Rohingya Pelangi Kasih di sini, hari ini.

Syed Hamid diminta mengulas dakwaan pemandu bas ekspres terbabit nahas dekat Muar itu hanya tidur tiga jam sebelum memulakan pemanduan, sekali gus berkemungkinan keletihan ketika memandu.

Nahas itu mengorbankan 14 orang termasuk pemandu, Zakeer Zubir, 32, dan anaknya yang berusia setahun, Nur Natasya Zahara.

Berita Harian X