X
Ahad, 25 Disember 2016 | 11:04pm

Nahas bas: Jenazah Mohd Hisham dikebumi di Marang

MARANG: Jenazah Mohd Hisham Wahab, 34, yang maut dalam nahas di Kilometer 137.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Pagoh, Muar, Johor semalam, selamat dikebumikan di kampung halamannya malam ini.

Anak kedua yang juga anak lelaki tunggal daripada lima beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nering, Kampung Rawai, di sini, kira-kira jam 10 malam ini, yang dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga, saudara mara dan penduduk setempat.

Jenazah Mohd Hisham yang dituntut bapanya, Wahab Jusoh, 59, di bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, Johor, kira-kira jam 10 pagi tadi tiba dengan van jenazah di rumahnya pada jam 6 petang tadi.

Jenazah kemudiannya dimandi dan dikafankan di rumah keluarganya, sebelum disembahyangkan di Masjid Kampung Rawai, di sini.

Sementara itu, adik ipar Allahyarham, Ahmad Abdul Malik Abdullah, 34, berkata sekalipun dia jarang bertemu dengan arwah, mereka sentiasa berhubung melalui laman sosial Facebook dan aplikasi WeChat.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang terjadi dan menyifatkan ia adalah ketentuan Ilahi.

"Alhamdulillah, segala urusan membawa pulang arwah Mohd Hisham dari HPSF hingga majlis pengebumian berjalan lancar," katanya ketika ditemui.

Mohd Hisham adalah antara 14 mangsa yang maut dalam kemalangan bas ekspres kira-kira jam 3.45 pagi ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru.

Kejadian turut menyebabkan seramai 16 lagi penumpang cedera.

WAHAB Jusoh (tengah) menyiram air di pusara anaknya, Mohd Hisham di Tanah Perkuburan Islam Nering, Kampung Rawai. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
WAHAB Jusoh (tengah) menyiram air di pusara anaknya, Mohd Hisham di Tanah Perkuburan Islam Nering, Kampung Rawai. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
IMAM Masjid Kampung Rawai, Abdul Wahab Mohammad (tengah) mengimamkan solat jenazah Mohd Hisham di Masjid Kampung Rawai. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
IMAM Masjid Kampung Rawai, Abdul Wahab Mohammad (tengah) mengimamkan solat jenazah Mohd Hisham di Masjid Kampung Rawai. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Berita Harian X