Khamis, 24 November 2016 | 12:38pm

Abdul Hadi bentang RUU 355 di Dewan Rakyat

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -Foto Mohd Yusni Ariffin
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi pelbagai bantahan dan tohmahan termasuk diramal tidak sempat dibentang dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen kali ini, Rang Undang-undang (RUU) Persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Usul membentangkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355) yang dicadangkan Abdul Hadi (PAS-Marang) itu berada pada kedudukan keenam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul Dewan Rakyat serta mula dibentangkan Presiden PAS itu pada jam 12.20 tengah hari.

Abdul Hadi ketika membentangkan usul itu berkata, ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Beliau berkata, ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Beliau kemudian mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang di bawah Peraturan Mesyuarat 15 (5).

Sekumpulan ahli dan penyokong PAS turut dilihat hadir serta berkumpul di luar kawasan Bangunan Parlimen bagi menyatakan sokongan kepada Abdul Hadi membentangkan RUU berkenaan.

Berita Harian X