Sabtu, 5 November 2016 | 6:27pm

Stok lebih had lesen, 1,400kg minyak masak dirampas

PENGUATKUASA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis melakukan pemeriksaan harga dan stok bekalan minyak masak di sebuah premis pemborong. - Foto Hafizudin Mohd Safar
PENGUATKUASA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis melakukan pemeriksaan harga dan stok bekalan minyak masak di sebuah premis pemborong. - Foto Hafizudin Mohd Safar

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas 1,400 kilogram (kg) minyak masak dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Chuping, dekat sini, pagi tadi.

Pengarah KPDNKK Perlis, Khairul Amin Talib, berkata semua minyak masak terbabit dirampas selepas siasatan mendapati stok yang disimpan itu melebihi lesen runcit dibenarkan untuk premis berkenaan.

"Kita dapati sejumlah besar minyak masak yang disimpan di premis itu melebihi had lesen runcit iaitu maksimum 500kg pada satu-satu masa.

"Justeru KPDNKK terpaksa menyita minyak masak berkenaan membabitkan 1,162kg dalam bentuk paket sekilogram, 84 bungkus bersaiz dua kilogram dan 14 botol bersaiz lima kilogram," katanya.

Khairul Amin berkata, siasatan awal bagaimanapun menolak kemungkinan premis berkenaan cuba menyembunyikan stok minyak masak kerana semua bahan itu diletakkan di tempat terbuka.

Bagaimanapun, katanya KPDNKK akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif premis itu menyimpan stok berlebihan walaupun alasan diberikan semua bekalan terbabit dihantar terus daripada ibu pejabat syarikat induk perniagaan itu.

Khairul Amin berkata, selain minyak masak pihaknya turut merampas 1,300kg gula bernilai RM3,705 kerana melanggar kebenaran permit runcit berkaitan had maksimum penyimpanan stok juga di premis sama.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara tiga tahun.

Berita Harian X