Ahad, 29 Mei 2016 | 4:48pm

5 lokasi berpotensi dibangunkan sebagai Geopark Kebangsaan

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) bersama isteri, Datin Seri Feona Sim serta Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut, Dr Sukarno Wagiman membunyikan hon simbolik majlis pelancaran bot peronda catamaran, Jabatan Taman Laut di Resort World. - Foto Amran Hamid

LANGKAWI: Lima lagi lokasi dikenal pasti untuk diketengahkan sebagai Geopark Kebangsaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata lokasi terbabit adalah Delta di Sarawak; Kinabalu, Sabah; Kinta, Perak; Kenyir, Terengganu dan Gunung Jerai, Kedah.

"Proses berkaitan sedang dilakukan, termasuk perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan persetujuan," katanya pada sidang media selepas melancarkan tiga bot peronda milik Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) di Resort World, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JTLM, Datuk Dr Sukarno Wagiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli.

Wan Junaidi berkata, negara berbangga apabila Langkawi Geopark mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1 Jun 2007.

"Berdasarkan peraturan UNESCO, selepas tiga tahun sesuatu kawasan diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan, barulah boleh memohon pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark," katanya.

Berita Harian X