Khamis, 26 Mei 2016 | 1:24pm

Hadi kemuka usul mahkamah syariah

DATUK Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
DATUK Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

KUALA LUMPUR: Usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.  

Usul berkenaan tersenarai pada aturan ke-15.  

Mengikut salinan Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang diedarkan kepada media, Ahli Parlimen Marang  itu mencadangkan Seksyen 2, Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016  mengenai kuasa Mahkamah Syariah ke atas penganut Islam dalam hal kesalahan jenayah. 

Difahamkan ini kali ketiga cadangan berkaitan akta berkenaan dikemukakan Abdul Hadi di Dewan Rakyat. 

Bagaimanapun, usul itu tidak dapat dibahaskan berikutan sesi perbahasan bermula sebaik sesi pertanyaan lisan dan soal jawab berakhir.   

Pakatan Harapan terutama DAP dikatakan bimbang jika usul itu dikemukakan, akan membuka ruang kepada pelaksanaan hudud. 

Ini kerana usul itu antara lain mahu meningkatkan hukuman kesalahan jenayah di Mahkamah Syariah. 

Pada masa ini, peruntukan hukuman maksimum Mahkamah Syariah adalah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Berita Harian X