Selasa, 3 Mei 2016 | 5:56pm

Akademi Sains Malaysia umum 25 felo baharu

KUALA LUMPUR: Seramai 25 saintis, jurutera dan pakar teknologi terkemuka negara dipilih sebagai felo baharu Akademi Sains Malaysia (ASM) 2016 sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 akademi itu, Sabtu lalu.

Presiden ASM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, berkata mereka yang dilantik termasuk Prof Datuk Dr Balwant Singh dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seterusnya, katanya, tiga profesor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) iaitu Prof Dr Lee Way Seah, Prof Dr Mary Anne Tan Jin Ai dan Prof Dr Wan Ariffin Abdullah.

Beliau berkata, pemilihan mereka berdasarkan sumbangan cemerlang dalam bidang Sains Perubatan dan Kesihatan di negara ini.

"Turut dilantik adalah Prof Dr Abdullah Gani (UM), Datuk Ir Lim Chow Hock (Institusi Jurutera Malaysia), Prof Datuk Ir Dr Mahyuddin Ramli (Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib (Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

"Selain itu, Prof Dr Zainab Abu Bakar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Borhanuddin Mohd Ali dan Profesor Dr Renuganth Varatharajoo dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Mereka akan memainkan peranan dalam bidang Kejuruteraan dan Sains Komputer," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Tajuddin berkata, felo baharu dipilih termasuk saintis dalam bidang biologi, pertanian dan sains alam sekitar termasuk Dr Chow Keng dari Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Katanya, turut tersenarai adalah Dr Ahmad Parveez Ghulam Khadir dan Dr Rajinder Singh Harminder Singh dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta Prof Dr Ahmad Ismail dan Prof Dr Mohd Ali Hassan (UPM).

Beliau berkata, pengiktirafan juga diberikan kepada Prof Dr Ramesh T Subramaniam dari UM dan Prof Dr Zainuriah Hassan dari USM atas sumbangan penting dalam bidang matematik, fizik dan sains alam.

"Selain itu, Prof Dr Md Pauzi Abdullah dari UKM, Prof Dr Wan Ahmad Kamil Che Mahmood (USM), Prof Dr Zanariah Abdullah (UM) dan Prof Dr Mohd Kamal Harun dari Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) yang diperakui sumbangan mereka dalam bidang sains kimia.

"Dalam bidang pembangunan sains, teknologi dan industri pula kami melantik Dr Ahmad Hezri Adnan dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Prof Datuk Dr Aishah Bidin (UKM).

"Kita turut melantik Datuk Dr Sharifah Maimunah Syed Zin daripada Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Antarabangsa bagi Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa untuk Kerjasama Selatan-Selatan (ISTIC)," katanya.

Ahmad Tajuddin berkata, ASM juga mengumumkan pelantikan felo kanan yang baharu iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman berdasarkan sumbangan beliau dalam menerajui bidang astrofizik serta pembangunan sains angkasa di Malaysia.

"Kepakaran akademi kini berkembang kepada 27 felo kanan dan 303 felo, selain felo akademi, rangkaian pakar kami juga meliputi 32 ahli bersekutu, 51 ahli saintis muda dan 110 saintis penyelidik terkenal negara.

"Sumbangan, nilai dan komitmen felo kami menyumbang kepada kejayaan pelbagai kajian strategik, program dan aktiviti akademi," katanya.

Berita Harian X