Khamis, 14 Januari 2016 | 2:42pm

Tambah peruntukan universiti dalam semakan bajet - CUEPACS

PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda. - Foto Yazit Razali
PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda. - Foto Yazit Razali

SERDANG: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat menambah peruntukan kepada universiti awam (UA) pada pengubahsuaian bajet hujung bulan ini bagi memastikan kebajikan pelajar dan kakitangan tidak terjejas.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata pemotongan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dalam Bajet 2016 terlalu drastik sehingga mengganggu kelancaran pengurusan yang dikhuatiri boleh menjejaskan matlamat asal UA untuk melahirkan mahasiswa berkualiti.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menggunakan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah peruntukan selain berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

"CUEPACS harap kerajaan prihatin dengan masalah UA berikutan pengurangan peruntukan dalam Bajet 2016. Jadi, pada pengubahsuaian bajet hujung bulan ini janganlah terus mengecilkan bajet mereka demi masa depan negara.

"Kita faham UA tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan untuk menjalankan operasi tetapi sekurang-kurangnya berilah mereka masa secukupnya untuk mencari dana," katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2016 Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA) di UPM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris; Presiden KEPERTAMA, Mohd Razali Singah dan Timbalan Presiden Gabungan Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (GAKUM), Zulkifli Mohamad.

Dalam Bajet 2016, Kementerian Pendidikan Tinggi menerima peruntukan RM13.378 bilion berbanding RM15.785 bilion dalam Bajet 2015, yang menyaksikan pengurangan RM2.4 bilion.

Pada 28 Januari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 supaya lebih realistik dan bersesuaian dengan ekonomi semasa.

Berita Harian X