Sabtu, 12 Disember 2015 | 1:08pm

Penerangan TPPA harus inklusif - Wakil Johor

PEMBAHAS, Suhaimi Salleh semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015. - Foto Aizuddin Saad
PEMBAHAS, Suhaimi Salleh semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Penerangan berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) harus diberikan secara inklusif kepada setiap lapisan masyarakat sebelum perjanjian itu dilaksanakan, cadang wakil UMNO Johor.

Naib Ketua UMNO Tanjong Piai, Suhaimi Salleh, berkata langkah itu akan membolehkan anggota masyarakat memperoleh maklumat yang jelas dan memahami isu-isu berkaitan TPPA.

"Kalau maklumat berkenaan TPPA hanya diletakkan di laman web MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sahaja, ia tidak mencukupi.

"Tiada siapa yang akan baca dan memahami 6,000 muka surat perjanjian yang rumit itu," katanya semasa membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini, hari ini.

TPPA merangkumi bidang-bidang tertentu seperti akses pasaran, halangan teknikal kepada perdagangan, peraturan negara asal, kerjasama kastam, pelaburan, perkhidmatan serta isu-isu perundangan dan institusi.

Sebanyak 12 negara iaitu Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam, Amerika Syarikat dan Malaysia merumuskan rundingan TPPA di Atlanta pada Oktober lepas.

Suhaimi turut meminta kerajaan supaya mewujudkan sebuah jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memberi penerangan kepada rakyat dan mengikut jenis kelompok pendengar seperti golongan peniaga, profesional dan penduduk luar bandar.

Kerajaan juga disaran mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi merancakkan perniagaan usahawan Melayu dan kemampuan bersaing di peringkat global.

Menyentuh usaha pemerkasaan ekonomi penduduk luar bandar terutamanya golongan muda, Suhaimi berkata insfrastuktur desa perlu dipertingkat selain dilengkapi teknologi terkini, kemahiran dan pendapatan tinggi bagi membolehkan mereka terus berkhidmat di desa.

- BERNAMA

Berita Harian X