Rabu, 25 November 2015 | 10:23pm

Lima peratus dana universiti awam dirizabkan mulai 2016

MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hadir pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hadir pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Lima peratus daripada keseluruhan dana untuk Universiti Awam (UA) akan dirizabkan mulai tahun depan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini.

Beliau berkata, dana rizab itu hanya akan dikembalikan selepas universiti terbabit berjaya memenuhi indeks pencapaian utama (IPU) dan mematuhi faktor tambahan seperti kecekapan, produktiviti, prestasi dan kejayaan.

Beliau berkata, formula dana baharu yang diputuskan pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) di sini meliputi dana berasaskan input (tiga peratus) dan dana berasaskan prestasi (dua peratus).

Sebelum ini, kerajaan mendanai seratus peratus 20 UA yang meliputi perbelanjaan yuran pengajian, geran blok antara 60-70 peratus dan pembangunan, jelasnya.

"Pendanaan 100 peratus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12, sedangkan outputnya meletakkan negara pada kedudukan ke-44. Ini jelas menunjukkan dana tidak digunakan secara cekap, sebab itu kita memperkenalkan skim pendanaan baharu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PHETF.

Idris berkata antara faktor yang diberi pertimbangan sebelum rizab dana dikembalikan kepada universiti ialah bilangan kemasukan pelajar, bilangan graduan, pengurangan kadar gagal dan keupayaan universiti mencipta produk inovasi.

Beliau berkata, UA Malaysia terlalu bergantung kepada dana kerajaan antara 75-95 peratus sementara universiti di seluruh dunia hanya bergantung kepada 30-40 peratus.

Menurut beliau, rizab lima peratus itu akan dinaikkan secara tahunan dan dijangka mencapai tahap 40 peratus pada 2025 apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dilaksana sepenuhnya.

"Kita mahu UA tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan sahaja. Kita mahu mereka bergerak ke arah kelestarian kewangan.

"Pada masa sekarang UA telah menjana pendapatan sejak sembilan tahun lalu sementara universiti lain kira-kira tiga tahun," katanya.

Ditanya jika UA tidak menuntut semula rizab lima peratus, beliau menjawab: "Maka, mereka perlu melihat kemungkinan untuk menukar naib canselor universiti."

- BERNAMA

Berita Harian X