Khamis, 26 November 2015 | 1:12pm

Pengambilan guru Bahasa Inggeris dari India ditangguh

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelan pengambilan guru Bahasa Inggeris dari India untuk menampung keperluan pendidik, terutama di kawasan luar bandar ditangguhkan sehingga tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan pelan itu masih meneliti beberapa aspek.

Beliau berkata, ia termasuk menggunakan guru bahasa Inggeris dalam kalangan graduan tempatan, selain menyambung kontrak pendidik yang tamat perkhidmatan.

"Pada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, kedua-dua negara mengambil keputusan untuk menangguhkan pelan pengambilan untuk sementara waktu.

"Jawatankuasa Teknikal akan meneliti beberapa aspek pengurusan dan keberkesanan pelaksanaan ini, sebelum membuat keputusan muktamad sama ada mengambil guru dari luar atau tempatan.

"Pelan pengambilan ini akan mula dibincangkan semula tahun depan dengan membabitkan beberapa pihak yang berkaitan bagi menjamin manfaat menyeluruh," katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2015, di sini, hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, menjelaskan kerajaan bercadang mengambil guru Bahasa Inggeris dari India untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan, terutama di kawasan luar bandar.

Cadangan itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk ada yang membantah pengambilan guru dari India memandangkan pendidik dalam kalangan graduan tempatan kini susah mencari pekerjaan.

Presiden Persatuan Guru Sarawak, Jisin Nyud, sebelum ini mempersoalkan rasional pengambilan guru dari luar negara, selain bimbang wujud peningkatan kos logistik dan gaji untuk membiayai pendidik antarabangsa.

Mahdzir berkata, selain India, kerajaan turut bercadang mengambil guru Bahasa Inggeris dari institusi lain seperti Universiti Cambridge di England.

"Kita bukan sekadar mengambil guru dari India, sebaliknya ada beberapa negara dan institusi berpontensi yang dikenal pasti untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris," katanya.

Berita Harian X