Selasa, 27 Oktober 2015 | 6:51pm

IPG diperkasa sebagai pusat kecemerlangan guru

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Yazit Razali
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Yazit Razali

BANGI: Institut Pendidikan Guru (IPG) bakal diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan guru, bagi membolehkan graduannya kembali mengikuti kursus jangka pendek selepas beberapa tahun berkhidmat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kursus pendek atau kursus dalam perkhidmatan yang dicadangkan itu akan berperanan sebagai proses merekayasa kepada guru graduan IPG.

"Ada graduan IPG yang sepanjang 36 tahun berkhidmat sehingga bersara tidak pernah balik untuk berkursus di IPG sedangkan mereka adalah lepasan IPG.

"Jadi saya ingin cadangkan guru lepasan IPG balik mengikuti kursus pendek di IPG secara berperingkat," katanya dalam sidang media selepas melawat IPG Kampus Pendidikan Islam di sini hari ini.

Mahdzir berkata lawatan beliau bertujuan meninjau lebih dekat kampus IPG dan mendapatkan maklumat daripada segi kursus dan pembelajaran di institusi itu.

Dalam ucapannya, beliau menasihatkan pelajar IPG selaku bakal pendidik agar berupaya menilai kesahihan maklumat yang tersebar terutamanya di media sosial setiap hari.

"Terdapat maklumat yang benar, separuh benar dan palsu dalam ledakan maklumat hari ini. Oleh itu berwaspada dalam menerima sebarang maklumat supaya sebagai pendidik anda mampu melaksanakan misi dan visi kerajaan," katanya.

Baru-baru ini Mahdzir memberi amaran Kementerian Pendidikan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu melalui media sosial mengenai penutupan sekolah akibat jerebu.

-- BERNAMA

Berita Harian X