Jumaat, 23 Oktober 2015 | 10:05pm

Naik taraf LTSIP bukti Kelantan tak dipinggirkan

PINTU gerbang Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang akan dinaik taraf berstatus antarabangsa pada pembentangan Bajet 2016.
PINTU gerbang Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang akan dinaik taraf berstatus antarabangsa pada pembentangan Bajet 2016.

KOTA BHARU: Cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Ismail Petra (LTSIP) dalam Bajet 2016 adalah langkah tepat bagi mengurangkan kesesakan di LTSIP terutamanya menjelang musim perayaan dan haji.

Seorang pekerja syarikat swasta, Yazzman Aliff Yahya, 30, LTSIP sudah layak untuk dinaik taraf berikutan ia adalah antara lapangan terbang paling sibuk di negara ini.

"LTSIP adalah antara lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur. Inisiatif kerajaan itu akan membolehkan LTSIP diperbesarkan bagi menempatkan lebih banyak lagi pesawat untuk mendarat, termasuk kapal terbang yang lebih besar sekali gus menyediakan lebih banyak jualan tiket kepada penumpang.

"Pada masa sama, jika LTSIP dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa, ia akan menggalakkan lagi pelancong ke Kelantan sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat negeri ini," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan peruntukan sebanyak RM42 juta

bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan serta Kota Bharu.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan, Omar Faliq Abdul Aziz, 24, berkata langkah itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap pembangunan Kelantan dan keselesaan pengguna.

"Saya kerap menaiki penerbangan dalam tiga kali seminggu dari Kota Bharu-Kuala Lumpur untuk menguruskan perniagaan.

"Saya memang berharap kemudahan di lapangan terbang itu akan ditingkatkan seperti membesarkan skrin jadual penerbangan elektronik serta menyediakan tempat meletakkan kenderaan yang lebih selesa.

"Ketika ini, ada penumpang termasuk saya sendiri pernah terlepas penerbangan kerana terkeliru dengan jadual di papan skrin yang kecil itu," katanya.

Berita Harian X