X
Jumaat, 23 Oktober 2015 | 5:36pm

6 kejayaan utama kerajaan sejak 2009 - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat. - Foto Shahril Badri Saali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat. - Foto Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Sejak 2009, kerajaan sudah menangani pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut domestik dengan cekap dan berkesan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata kejayaan itu diterjemahkan menerusi enam kejayaan utama.

Membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, enam pencapaian berkenaan menjadi penanda aras yang membanggakan dan menaikkan kedudukan ekonomi negara.

Katanya, pencapaian pertama negara adalah ekonomi negara yang dijangka mampu berkembang hingga 5.5 peratus tahun ini, meskipun ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.

Keadaan ekonomi semasa kata Najib, tidak boleh dibandingkan dengan keadaan tahun 1998. Ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus.

"Negara juga dapat mengurangkan defisit fiskal daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus. Melalui Dasar Transformasi Nasional (DTN) yang bermula pada tahun 2010, kerajaan meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan.

"Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.

"Kadar pengangguran juga dapat dikurangkan kepada 2.9 peratus berbanding 3.4 peratus pada tahun 1999. Sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 sebentar tadi.

Najib berkata, selain itu sebanyak lima juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.

Katanya, pencapaian keenam adalah pelbagai kemudahan yang disediakan kepada rakyat demi meringankan kos sara hidup seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Berita Harian X