Isnin, 5 Oktober 2015 | 5:31pm

Kontrak perkhidmatan doktor pakar dengan kerajaan dikaji

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengkaji tempoh kontrak perkhidmatan doktor pakar dengan kementerian kesihatan bagi mengatasi fenomena 'penghijrahan cendekiawan' doktor pakar daripada hospital awam ke sektor swasta.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata fenomena 'penghijrahan cendekiawan' berkenaan menyebabkan hospital awam terus dibelenggu dengan masalah kekurangan doktor pakar.

"Kita ada usaha kaji semula perjanjian ini. Kita anggap keluarnya mereka (doktor pakar) daripada perkhidmatan kerajaan sebagai 'penghijrahan cendekiawan'.

"Penghijrahan cendekiawan ini bukan dialami oleh Malaysia sahaja tetapi seluruh negara kecuali Kuwait. Mungkin ada cara dia (Kuwait).

"Kita sedang bandingkan (tempoh kontrak perkhidmatan doktor pakar negara ini dengan negara lain tetapi kecenderungan kita ialah untuk tambah tempoh kontrak perkhidmatan (doktor pakar dengan hospital kerajaan)," katanya kepada pemberita

selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sabah dan Sarawak di sini hari ini.

Sejumlah 3,249 graduan sudah dan akan menerima sijil dan diploma masing-masing dalam pelbagai bidang sepanjang tempoh tiga hari majlis konvokesyen berkenaan yang bermula hari ini.

Menurut Dr Hilmi, bilangan doktor pakar yang telah dilatih oleh kerajaan kemudian meninggalkan perkhidmatan mereka dengan kerajaan adalah besar, termasuk dalam pakar jantung dan pakar bius kerana menerima tawaran gaji dan ganjaran menarik daripada sektor swasta.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima ada doktor-doktor pakar ini ditawarkan gaji di sektor swasta sehingga 10 kali lebih tinggi berbanding dengan gaji mereka dengan kerajaan.

Beliau berkata tempoh kontrak perkhidmatan doktor pakar dengan kerajaan biasanya antara lima hingga tujun tahun, namun disebabkan tawaran menarik swasta, banyak doktor pakar kerajaan sanggup membayar balik kontrak antara RM150,000 hingga RM170,000 bergantung kepada kos yang dibelanjakan kerajaan melatih mereka.

"Biasanya kita latih doktor antara empat hingga lima tahun, sambung lagi empat tahun untuk menjadi pakar. Bila dapat tawaran lebih tinggi (daripada sektor swasta) mereka pergi. (Mereka) sanggup bayar kontrak dengan kerajaan.

"Saya harap, pada masa hadapan pakar yang kita sudah latih ini jangan meletak jawatan. Berkhidmatlah selama mungkin dengan kerajaan agar kita dapat memenuhi kehendak rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Dr Hilmi berkata kerajaan melalui kementeriannya sentiasa berusaha untuk meningkatkan bilangan doktor pakar dalam pelbagai bidang bagi memastikan bilangan doktor seperti itu hospital-hospital kerajaan mencukupi.

Katanya, antara langkah bagi mencapai tujuan itu termasuk dengan menawarkan 1,000 slot setiap tahun kepada doktor-doktor untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana perubatan dan setakat ini 916 orang doktor sudah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian sehingga menjadi doktor pakar.

Mengulas mengenai penyakit berkaitan pernafasan yang dirujuk di hospital dan klinik berikutan fenomena jerebu sekarang ini, Dr Hilmi berkata peratusannya meningkat namun berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain.

Sebagai contoh katanya, tiga buah klinik di bahagian pulau di Pulau Pinang merekodkan peningkatan 50 peratus bilangan kes berkaitan pernafasan berbanding biasa. -BERNAMA

Berita Harian X