Selasa, 21 Julai 2015 | 10:07am

Hotel butik tradisional pukau pelancong

TEMA yang ditonjolkan melalui dekorasi dan layanan daripada petugas sememangnya menjadi 'wow factor' kepada pengunjung yang menginap di Hotel Butik Bagasta. - Foto Facebook Hotel Butik Bagasta
TEMA yang ditonjolkan melalui dekorasi dan layanan daripada petugas sememangnya menjadi 'wow factor' kepada pengunjung yang menginap di Hotel Butik Bagasta. - Foto Facebook Hotel Butik Bagasta

KUALA LUMPUR: Hotel tradisional dengan seni bina kayu ala kampung di tengah-tengah bandaraya?

Pasti sukar membayangkan adanya hotel berkonsep itu dalam kawasan hutan batu yang dikelilingi bangunan pencakar langit.

Tidak hairan jika ramai yang kurang menyedari kewujudan hotel butik tradisional seni bina kayu di ibu kota, yang mengetengahkan konsep bermalam di kampung dengan panorama bangunan tinggi dapat dilihat menerusi tingkapnya.

Salah satunya, Hotel Butik Bagasta yang terletak di Kampung Baru, di sini menawarkan konsep penginapan ala kampung Melayu dengan reka bentuk mewah hiasan perabot kayu.

Mengikut Ketua Pegawai Eksekutif, Intan A Razak, beliau memilih mewujudkan hotel butik itu untuk menawarkan suasana dan pengalaman menginap yang berbeza di kawasan bandar.

PEMANDANGAN KLCC dapat dilihat dari Hotel Butik Bagasta. - Foto Facebook Hotel Butik Bagasta
PEMANDANGAN KLCC dapat dilihat dari Hotel Butik Bagasta. - Foto Facebook Hotel Butik Bagasta

"Walaupun standard sebuah hotel butik tidak melebihi 100 bilik dan saiz hotel yang lebih kecil berbanding hotel biasa, tema yang ditonjolkan melalui dekorasi dan layanan daripada petugas sememangnya menjadi 'wow factor' kepada pengunjung yang menginap," katanya.

Intan berkata, konsep yang dipersembahkan setiap hotel butik adalah mengikut keistimewaan masing-masing, namun tujuan utamanya tetap sama iaitu menawarkan pengalaman baru buat pelancong.

Antara yang menarik perhatian wartawan Bernama ketika berkunjung ke hotel itu adalah pemandangan KLCC dapat dilihat dari beberapa bilik bercirikan rumah kayu.

Hotel butik itu cukup popular sejak dibuka tahun lalu kerana menawarkan konsep eksotik identiti Malaysia bagi menarik pelancong luar negara kembali lagi ke sini.

HOTEL Butik Bagasta menawarkan konsep penginapan ala kampung Melayu dengan reka bentuk mewah hiasan perabot kayu. - Foto Facebook Hotel Butik Bagasta
HOTEL Butik Bagasta menawarkan konsep penginapan ala kampung Melayu dengan reka bentuk mewah hiasan perabot kayu. - Foto Facebook Hotel Butik Bagasta

Sementara itu, Hotel Butik Anggun yang terletak di kawasan Bukit Bintang pula mengetengahkan elemen dekorasi bercirikan seni bina 'Baba Nyonya'.

Laluan pintu gerbang masuk hotel itu yang diukir dengan corak tradisi Baba Nyonya sudah pasti menarik perhatian sesiapa saja yang terserempak dengan hotel itu yang terletak di Jalan Tengkat Tong Shin.

Pegawai pemasaran hotel itu Dian Anggraani, berkata keunikan tersendiri hotel butik menjadi tarikan kepada pelancong di Kuala Lumpur.

Katanya, ramai pelancong asing gemar menginap di hotel butik kerana ia memberi pengalaman unik kepada mereka tetapi konsep ini masih dianggap asing dan kurang mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan.

HOTEL Butik Anggun yang terletak di kawasan Bukit Bintang pula mengetengahkan elemen dekorasi bercirikan seni bina 'Baba Nyonya'. - Foto laman web Hotel Anggun
HOTEL Butik Anggun yang terletak di kawasan Bukit Bintang pula mengetengahkan elemen dekorasi bercirikan seni bina 'Baba Nyonya'. - Foto laman web Hotel Anggun

"Kebanyakan masyarakat tempatan beranggapan menginap di hotel besar atau bangunan yang lebih tinggi adalah selesa daripada tinggal di hotel butik yang jauh lebih kecil.

"Masyarakat juga perlu tahu hotel butik mampu menyediakan perkhidmatan yang berkualiti setanding dengan hotel yang lain seperti kemudahan internet, lokasi strategik khusus untuk pelancong bersiar-siar di sekitar ibu kota," katanya.

Bagi Dian, konsep hotel butik yang menonjolkan nilai kebudayaan asli sebenarnya bukan saja sebagai faktor tarikan pelancong malah mengekalkan nilai sentimental yang ada di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X