Jumaat, 17 April 2015 | 5:44pm

Kaunter e-Filing dibuka pada hujung minggu

KUALA LUMPUR: Kaunter perkhidmatan e-Filing di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seluruh negara akan beroperasi pada hujung minggu bermula hari ini.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini, menyebut bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor, yang hari hujung minggu jatuh pada Jumaat dan Sabtu, kaunter dibuka hari ini dan esok serta pada 24 dan 25 April depan bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Sementara itu, bagi negeri yang hari hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, kaunter akan dibuka esok (18 April), 19 April, 25 April dan 26 April bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang manakala di Sabah dan Sarawak, waktu operasi akan bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

Kenyataan itu menyebut, kaunter berkenaan dibuka pada hujung minggu bertujuan membantu pembayar cukai yang tidak mempunyai kemudahan Internet untuk menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang BE sahaja) menggunakan e-Filing.

Sehubungan itu, LHDN meminta pembayar cukai menggunakan kemudahan yang disediakan dan memastikan Borang Nyata Cukai Pendapatan mereka dikemukakan dalam tempoh ditetapkan.

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan hal ehwal percukaian, boleh diajukan kepada Pusat Panggilan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau dikemukakan melalui Borang Maklum Balas Pelanggan di http://maklumbalas.hasil.gov.my/. - BERNAMA

Berita Harian X