Rabu, 1 April 2015 | 11:00pm

Jajaran laluan SSP belum muktamad - MRT Corp

KUALA LUMPUR: Semua cadangan penjajaran Laluan Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) kekal sebagai pilihan dan belum lagi dimuktamadkan, menurut Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini.

Menurut syarikat itu, penjajaran itu hanya boleh dimuktamadkan selepas paparan awam dan seterusnya diluluskan kerajaan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak, berkata cadangan pilihan penjajaran baharu untuk Laluan SSP melibatkan perubahan seksyen di antara Stesen Tun Razak Exchange dan Seri Kembangan, melalui Kuchai Lama, Sri Petaling, Sungai Besi dan Serdang Raya.

"Pilihan penjajaran sebelum ini, tidak melalui lokasi di atas, tetapi kawasan Maluri, Pandan, Cheras dan Bukit Belimbing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membuat penjelasan itu bagi mengetepikan dakwaan media berhubung penjajaran cadangan Laluan SSP, laluan kedua projek MRT Lembah Klang.

Amir berkata, cadangan pilihan penjajaran baharu itu dibuat bagi membolehkan Laluan SSP berintegrasi dengan Terminal Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura yang akan dibina.

"Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mencadangkan terminal itu dibina bersebelahan trek KTM dan Express Rail Link di selatan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi.

"Ia peluang terbaik untuk mengintegrasikan Laluan SSP dengan Keretapi Laju. Ini adalah perancangan ke depan yang akan memastikan kemudahan maksimum kepada orang ramai di samping jumlah penumpang yang tinggi untuk Laluan SSP," katanya.

Amir berkata, pilihan baharu itu dijangka memberikan tambahan penumpang 16,000 sehari berbanding cadangan penjajaran asal dan membolehkan Laluan SSP diintegrasikan dengan stesen Chan Sow Lin dan LRT Sungai Besi.

"Kami dikekang oleh pembiayaan dan kapasiti dari segi membina lebih banyak laluan tetapi jika kami boleh menghubungkan kepada laluan lain yang sedia ada atau cadangan laluan sebelum itu, perkara yang wajar dibuat ialah mencari satu laluan untuk berbuat demikian. "Hubungan tambahan ke stesen LRT Sungai Besi adalah satu bonus kerana ia akan memperluas khidmat kereta api bandar di kawasan terbabit," katanya.

Pilihan baharu itu juga akan menyaksikan laluan yang lebih terus kepada pengguna dari Putrajaya, Cyberjaya dan Serdang ke Kuala Lumpur dan mengurangkan masa perjalanan daripada 100 minit kepada 84 minit.

Amir berkata, kerajaan telah meminta MRT Corp untuk segera menjalankan kajian ke atas penjajaran untuk Laluan 3 MRT agar perkhidmatan MRT boleh disediakan di kawasan berkenaan.

"MRT Corp akan menjalankan kajian kemungkinan untuk Laluan 3 pada akhir 2015 bagi meningkatkan lagi sambungan kereta api di Pandan. Sebaik siap, kami akan menyerahkannya kepada SPAD," katanya.

Amir berkata, dakwaan yang penjajaran semula itu menyebabkan kelewatan enam bulan juga tidak benar dan tempoh pembinaan untuk pilihan baharu itu tetap sama.

"Satu-satunya perubahan dalam tempoh ialah untuk paparan awam, yang kini dijangka diadakan pada Mei 2015 dan bukannya Mac 2015," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X