Sabtu, 22 November 2014 | 5:29pm

JPAM gerak 12,000 anggota jalankan operasi banjir

ARAU: Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) akan menggerakkan 12,000 anggotanya untuk membantu menangani banjir yang kini melanda beberapa negeri.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPAM, Selamat Dahalan, berkata jabatan itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir dengan membuat persiapan logistik seperti lori dan bot manakala anggota-anggotanya boleh dihantar ke negeri dilanda banjir pada bila-bila masa.

JPAM juga mempunyai pasukan bantuan untuk meneruskan operasi jika diperlukan bagi tempoh berpanjangan.

"Kita menunggu arahan sahaja untuk memulakan operasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Institutsi Pengajian Tinggi (IPT) peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini, hari ini.

Seramai 310 anggota Kor itu yang mewakili 23 IPTA/IPTS menyertai seminar itu bertujuan menambah baik pengurusan, meningkatkan kefahaman dan peranan dalam aspek kesukarelawanan di IPT.

Mengenai Kor Sispa, Selamat berkata seramai 10,000 penuntut dari 28 IPTA/IPTS di seluruh negara menganggotai pasukan itu dengan mereka diberikan latihan hampir sama dengan anggota JPAM.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPAM merancang menghantar pasukannya memberi bantuan ke negara-negara dilanda bencana pada peringkat awal bagi menimba pengetahuan dan pengalaman.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin, berkata latihan Kor Sispa mengajar penuntut universiti mencapai keseimbangan akademik dan insaniah bagi melahirkan graduan yang memiliki jati diri dan disiplin tinggi.

"Saya telah meluluskan RM10,000 untuk menghantar 20 anggota sukarelawan UniMAP ke Terengganu bagi membantu mangsa banjir," katanya.

Pada majlis itu, Selamat menyampaikan Pingat Bakti Pertahanan Awam kepada enam penerima termasuk Prof Dr Kamarudin dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Datuk Prof Dr Wahid Omar.

- BERNAMA

Berita Harian X