Ahad, 16 November 2014 | 6:28pm

44 kes pencerobohan taman laut dikesan di seluruh negara

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 44 kes pencerobohan di kawasan taman laut di seluruh negara dikesan dalam 10 bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Dr Sukarno Wagiman, berkata Terengganu mencatatkan bilangan kes pencerobohan paling tinggi iaitu 12.

"Ini kerana Terengganu mempunyai banyak pulau dan kawasan perairan laut yang luas," katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata, pencerobohan itu dilakukan oleh bukan sahaja nelayan asing tetapi juga nelayan tempatan semata-mata dengan tujuan menangkap ikan. 

Menurutnya, bagi menangani permasalahan itu pihaknya telah menempatkan 100 anggota unit penyelam dalam pasukan ronda sebagai usaha untuk melindungi khazanah marin di 42 lokasi taman laut di seluruh negara.

Katanya, pihaknya juga telah melakukan tiga tangkapan di Johor kerana menggunakan senjata buatan sendiri untuk menombak ikan di dasar laut. 

Menangkap ikan di kawasan Taman Laut adalah satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. - BERNAMA

Berita Harian X