Ahad, 5 Februari 2023 | 6:37pm
Lelaki disyaki menunjukkan kemaluan kepada dua wanita di kawasan Batu 22, Teroi di Yan, Kedah. - Foto ihsan Nur Wahida Ahmad
Lelaki disyaki menunjukkan kemaluan kepada dua wanita di kawasan Batu 22, Teroi di Yan, Kedah. - Foto ihsan Nur Wahida Ahmad

Perangai tak senonoh, jijik...

YAN: Dua wanita bersaudara berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya ketika menunggang motosikal.

Kejadian ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Keda, Sungai Udang, di sini, pagi tadi.

Nur Wahida Ahmad, 27, berkata insiden itu jam 11.30 pagi ketika dia bersama anak saudara perempuannya berusia 20 tahun pulang dari kursus kulinari di Guar Chempedak dengan menunggang motosikal.

Katanya, sebaik tiba di Batu 22, Teroi, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang menunggang motosikal tiba bersebelahan mereka sambil membuka zip seluar dan memegang kemaluannya.

"Ketika itu ada sebuah kereta di belakang dan lelaki itu menunggang motosikal terus ke hadapan, saya ingat selamatlah. Namun tak lama kemudian, dia berhenti di tepi jalan dan ikut kami dari belakang.

"Saya sempat merakam aksi lelaki itu sebelum kami terus pulang ke rumah dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan tidak lama kemudian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nur Wahida, dia masih trauma dengan apa yang berlaku kerana berdasarkan maklumat awam, ramai wanita lalu di kawasan itu pernah mengalami nasib sama.

"Lelaki itu menunggang Yamaha Y15 biru tanpa nombor pendaftaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang mengesan suspek.

Berita Harian X