Ahad, 22 Januari 2023 | 9:11pm
Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan rumah berkembar dua tingkat di Jalan Yun Chai Lok hari ini.
Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan rumah berkembar dua tingkat di Jalan Yun Chai Lok hari ini.

Suka bertukar duka pada sambutan Tahun Baharu Cina

SIBU: Kegembiraan dua keluarga meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bertukar duka, selepas rumah berkembar dua tingkat yang didiami mereka dekat Jalan Yun Chai Lok di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan dibantu BBP Sibu Sentral, dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat jam 8.18 pagi

Beliau berkata, ketika sampai di lokasi, pasukan itu mendapati api yang marak sedang merebak ke rumah kedua selepas memusnahkan kediaman pertama.

"Selepas bertungkus-lumus memadam kebakaran, api berjaya dikawal dalam masa 90 minit sebelum proses penyejukan diteruskan bagi mengelak kebakaran berulang.

"Operasi memadam kebakaran ini agak sukar kerana sebuah rumah itu dipenuhi dengan lapisan beg plastik di bahagian garaj yang menyukarkan api dipadam," ujarnya.

Beliau berkata, keseluruhan operasi pasukan itu di lokasi kebakaran, selesai kira-kira jam 4 petang tadi.

Turut musnah dalam kebakaran ialah sebuah kereta yang diletakkan pada parkir rumah berkenaan, manakala semua penghuni kediaman itu sempat menyelamatkan diri lari menyelamatkan diri.

Berita Harian X