Isnin, 12 Disember 2022 | 4:46pm
Saksi pendakwaaan, Joanna Yu Ging Ping, hadir ketika sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Saksi pendakwaaan, Joanna Yu Ging Ping, hadir ketika sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Joanna mahu masak sup untuk Jho Low

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tiada apa-apa maksud lain apabila menawarkan untuk memasak sup kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang sedang sakit.

Joanna ketika menjawab soalan balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang merujuk saksi itu kepada perbualan pesanan ringkas Blackberry (BBM) di antara beliau dan Jho Low, berkata beliau akan membantu sesiapa saja.

"Saya ada cadangkan, jika dia (Jho Low) mahu, saya boleh masakkan sup untuknya. Biasanya, kita akan tawarkan itu kepada orang yang sakit.

"Itu adalah naluri keibuan," katanya.

Ketika disoal selanjutnya oleh peguam sama ada perbuatan itu wajar selaku pegawai bank kepada pelanggan, Joanna menjawab, "saya tidak ada niat lain".

Muhammad Shafee: Tiada bank yang menawarkan saya (untuk memasak sup), sedangkan saya tinggal berhadapan bank.

Joanna: Saya akan tolong sesiapa saja termasuk …

Muhammad Shafee: Anda membiarkan diri menjadi rapat dengannya, sehingga tidak lagi bertindak secara profesional?

Joanna: Tidak. Dia adalah rakan saya. Kami memanggil pelanggan korporat sebagai rakan. Kami berurusan dengan mereka dalam perhubungan yang sangat rapat.

Joanna memberikan keterangan terhadap Datuk Seri Najib Razak, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Joanna berkata, beliau percaya ada 'tangan ghaib' yang menyebabkan syarikat pelaburan strategik Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) mengalami kerugian berjumlah RM700 juta.

TIA diwujudkan bagi merancang pembangunan di negeri Terengganu, kemudian dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadan (MKD), dan ditukar nama kepada (1MDB) pada 25 September 2009.

Joanna berkata, beliau kini sedar ada tangan ghaib yang terbabit dalam urusan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA yang akhirnya merugikan syarikat itu.

Muhammad Shafee ketika itu mencadangkan sama ada saksi menyedari pihak yang mengaut keuntungan daripada urusan bon berkenaan ialah Jho Low melalui syarikat yang berkaitan dirinya dan 'orang dalam' dalam Ambank.

Bagaimanapun, Joanna berkata, beliau tidak tahu sama ada pihak dalam Ambank turut terbabit dalam konspirasi untuk meraih keuntungan daripada penjualan bon IMTN terbabit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Datin Seri Rosmah Mansor, hadir bagi mengikuti perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datin Seri Rosmah Mansor, hadir bagi mengikuti perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Berita Harian X