Khamis, 24 November 2022 | 10:50pm
Anggota bomba memadamkan api selepas sebuah kereta terbakar di Kilometer 88.2, Kampung Kitou, Tambunan, Keningau, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Anggota bomba memadamkan api selepas sebuah kereta terbakar di Kilometer 88.2, Kampung Kitou, Tambunan, Keningau, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba

Pemandu cedera, kereta terbabas sebelum terbakar

KENINGAU: Seorang pemandu cedera selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit sebelum terbakar di Kilometer 88.2, Kampung Kitou, Tambunan, di sini, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya cedera dan dihantar ke hospital oleh orang awam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 5.09 petang.

Katanya, setiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Alza dipercayai terbabas sendiri masuk ke dalam parit lalu terbakar.

"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dan sumber air dari tangki jentera. Kereta terbakar sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, terdapat seorang mangsa dipercayai terbabit telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

"Operasi terkawal pada jam 5.45 petang dan operasi tamat sepenuhnya tujuh minit kemudian," katanya.

Berita Harian X