KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau perlu melindungi kepentingan negara dan pada masa sama, melindungi kepentingan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selaku Ahli Lembaga Penasihat (BOA) syarikat pelaburan itu.
Irwan Serigar berkata, bagi tujuan itu beliau memberikan nasihat kepada bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak sama ada dalam kapasiti rasmi atau tidak rasmi, membabitkan hal ehwal 1MDB.
Irwan Serigar yang menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas berkata, beliau perlu mengimbangi di antara kedua-dua peranan berkenaan.
"Ia kedudukan yang sangat sensitif. Ia memerlukan imbangan dan pendekatan yang betul supaya dapat memberi manfaat kepada syarikat dan juga kepada negara," katanya.
Sementara itu, Irwan Serigar yang menjawab persoalan Muhammad Shafee mengenai keterangan pegawainya sebelum ini yang membayangkan mereka tidak boleh bertanya terus kepada Najib mengenai urusan 1MDB, menafikan kenyataan terbabit.
Jelas Irwan Serigar, pegawai bawahannya juga mempunyai akses secara langsung kepada Najib, apabila membabitkan hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara itu.
"Itu tidak tepat. Perdana menteri (Najib) kadang-kadang memanggil mereka (pegawai lain), secara langsung. Sesiapa sahaja boleh mendekati beliau," katanya.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata, beliau tidak mempunyai akses secara langsung kepada Najib untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan 1MDB.
Katanya, bukan menjadi amalan lazim untuk seseorang memintas pegawai atasan dan bercakap terus dengan perdana menteri.
Dalam prosiding itu, Muhammad Shafee menyatakan rasa hairannya sebab Siti Zauyah tidak bercakap terus saja kepada Najib untuk membangkitkan pelbagai kekeliruan mengenai 1MDB.
Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.