KUALA LUMPUR: Pengerusi kumpulan Media The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong memberitahu Mahkamah Tinggi, Tan Sri Mohamed Nazir Razak menyuarakan kebimbangan mengenai sesuatu yang tidak kena dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Kooi Ong, disebabkan kebimbangan adik kepada Datuk Seri Najib Razak yang juga sahabat karibnya hingga kini, beliau pun membuat siasatan dan meneliti serta cuba memahami bagaimana transaksi dalam syarikat itu menjadi tidak normal.
"Nazir dan saya bimbang bahawa Najib diperdaya oleh Jho Low (ahli perniagaan Low Taek Jho) dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB membabitkan transaksi dalam syarikat itu.
"Tanggapan pertama kami ialah Najib diperdaya oleh Jho Low dan beberapa pengurusan tertinggi 1MDB yang bekerjasama dengan mereka," katanya ketika disoal balas oleh peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Kooi Ong berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap terhadap Najib, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Saksi ke-43 pendakwaan itu turut disoal mengenai sama ada beliau menyedari wang daripada transaksi berkenaan dipindahkan ke akaun keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, di Singapura.
Kooi Ong menjawab, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu, bagaimanapun merasakan terdapat artikel yang melaporkan berhubung wang daripada transaksi berkenaan dikaitkan dengan keluarga Zeti.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti (berhubung artikel itu).
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.