Jumaat, 11 November 2022 | 11:50am
Keadaan penempatan penduduk di Kampung Padang Empang dan Iboi selepas tragedi kepala air dan banjir tidak terurus penuh dengan sampah dan batang kayu. NSTP/Safuri Kamarudin
Keadaan penempatan penduduk di Kampung Padang Empang dan Iboi selepas tragedi kepala air dan banjir tidak terurus penuh dengan sampah dan batang kayu. NSTP/Safuri Kamarudin

Kampung Iboi selamat atau tidak?

BALING: Penduduk Kampung Iboi dan Padang Empang serta beberapa kampung berdekatan di Mukim Kupang meminta status keselamatan kawasan di Sungai Kupang segera diisytiharkan sebagai selamat atau sebaliknya.

Penduduk mendakwa kehidupan mereka tidak tenteram kerana kerap dilanda banjir sehingga mengalami kerugian harta benda.

Penduduk, Siti Halimah Che Hin, 63, dari Kampung Padang Empang, berkata sejak tragedi 4 Julai lalu, sudah sembilan kali kampung mereka dilanda banjir.

"Bayangkan dalam tempoh empat bulan, sudah sembilan kali rumah kami dinaiki air paras 0.5 hingga satu meter.

"Banyak barang yang rosak dan tidak mampu menukar peralatan yang baharu kerana tidak yakin lagi tempat tinggal kami kawasan selamat," katanya.

Beliau mendakwa punca projek tanaman durian Musang King menyebabkan kehidupan penduduk menjadi susah.

"Banyak kebun tanaman rosak dan tidak dapat mengusahakan tanah bagi tanaman yang boleh menampung pendapatan keluarga.

"Nak bercucuk tanam pun tidak boleh sudah kerana struktur tanah turut rosak, selain dilanda banjir setiap kali hujan lebat," katanya.

Siti Halimah berkata, kebanyakan penduduk bekerja sebagai penoreh, petani, penternak, namun selepas peristiwa itu rutin harian penduduk terjejas.

"Sepatutnya kerajaan kena telus dan mengisytiharkan kawasan kampung kami selamat atau tidak diduduki.

"Kampung kami sudah jadi sepi dan tidak nampak usaha kerajaan untuk memulihkan kampung untuk memajukan ekonomi penduduk," katanya.

Katanya, sebelum ini pengunjung datang berkelah dan beriadah di Lata Celak tetapi kini hanya tinggal kesan kemusnahan.

"Sungai angkat tempat berkelah dan lokasi pelbagai program turut musnah. Kini hanya tinggal bongkah kayu, sampah sarap dan bangunan usang yang musnah dilanda banjir tempoh hari," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Hussain, 59, berkata kerajaan negeri perlu menyelamatkan Gunung Inas supaya ia dipulihara dan dijaga sebagai khazanah alam yang kekal.

Beliau berkata, penduduk mahu keselamatan kampung, ekonomi, alam sekitar, kebajikan dan kesihatan terus terpelihara.

Katanya, penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Kupang masih tertanya-tanya tentang keselamatan mereka dan bimbang dengan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata, setiap kali hujan lebat walaupun satu jam sahaja, air akan melimpah masuk ke kawasan rumah menyebabkan penduduk terpaksa berpindah.

"Adakah benar-benar selamat penduduk di sini tinggal di penempatan mereka yang tidak pernah mengalami kejadian seburuk itu," katanya.

Berita Harian X