Khamis, 10 November 2022 | 8:35pm
Perodua Axia terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira 4.5 meter di Batu 1.5, Jalan Felda Kahang Barat di Kluang, Johor, pagi tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Perodua Axia terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira 4.5 meter di Batu 1.5, Jalan Felda Kahang Barat di Kluang, Johor, pagi tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Pemuda berusia 19 tahun patah tulang leher selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan memasuki parit sedalam kira-kira 4.5 meter di Batu 1.5, Jalan Felda Kahang Barat di Kluang, Johor, pagi tadi. NSTP/Ihsan Bomba

Kereta terbabas dalam parit, pemuda patah leher

KLUANG: Seorang pemuda berusia 19 tahun patah tulang leher selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan memasuki parit sedalam kira-kira 4.5 meter di Batu 1.5, Jalan Felda Kahang Barat, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata mangsa kini dirawat di Zon Merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Katanya, kenderaan dipandu mangsa dari arah Jalan Kahang Barat ke arah Jalan Padang Tembak itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh sebelum terbabas ke dalam parit.

"Ketika kejadian, permukaan jalan basah akibat hujan dan pemandu kereta mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang leher serta luka seluruh badan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.41 pagi.

Komander Operasi Mohd Noorhakim Nordin, berkata mangsa berjaya dikeluarkan sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba dan dihantar ke HEBHK menggunakan ambulans.

"Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 12.10 tengah hari," katanya.

Berita Harian X