KUALA LUMPUR: Polis menyelesaikan kes samun berkumpulan menggunakan tukul besi di kedai serbaneka 24 jam di Taman Maju Jaya, Petaling Jaya, Sabtu lalu dalam tempoh kurang 10 jam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan kes itu pada jam 5.28 pagi, daripada pengadu yang mendakwa dua lelaki masuk ke premis dengan memakai topi keledar dan berpelitup muka.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu melarikan wang tunai berjumlah RM560 serta 49 kotak rokok pelbagai jenis.
"Bertindak atas maklumat dan tindakan pantas sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 3.30 petang, yang pergi ke Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan, berjaya menangkap lelaki terbabit serta merampas barang dipercayai hasil samun.
"Semakan mendapati seorang suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan satu rekod dadah, manakala seorang lagi hanya ada satu rekod dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mereka direman selama lima hari berakhir Khamis ini.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi hotline polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan.