Isnin, 31 Oktober 2022 | 8:01pm
 Mangsa yang melecur diberi rawatan awal oleh paramedik sebelum dihantar ke hospital. Foto ihsan bomba
Mangsa yang melecur diberi rawatan awal oleh paramedik sebelum dihantar ke hospital. Foto ihsan bomba

Stor simpan baja terbakar, lelaki melecur seluruh badan

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Indonesia melecur seluruh badan dalam kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan baja di Batu 13, Jalan Jeroco, di sini, hari ini.

Mangsa, Nasaruddin Silele, 41, kemudian dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.42 petang.

Katanya, tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan baja yang terbakar sepenuhnya. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dan satu pancutan sumber air dari tangki jentera.

"Seorang mangsa melecur di seluruh badan dan dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi terkawal pada jam 4.40 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Pasukan operasi kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.

"Operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 5 petang," katanya.

Berita Harian X