Rabu, 19 Oktober 2022 | 5:22pm
Pegawai penjara mengiringi Najib bagi perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, sebelum ini. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pegawai penjara mengiringi Najib bagi perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, sebelum ini. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD

Parlimen lebih selamat daripada penjara

KUALA LUMPUR: Parlimen lebih selamat daripada penjara.

Itu antara hujahan dibuat oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Datuk Seri Najib Razak, ketika prosiding permohonan semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri itu, bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Shafee berkata, Parlimen juga antara tempat paling selamat dan dipantau pasukan keselamatan, selain dihadiri Yang di-Pertuan Agong, anggota Kabinet, ahli Parlimen dan orang kenamaan (VIP).

Beliau berkata, atas sebab itu, Jabatan Penjara yang memutuskan tidak membenarkan Najib hadir ke Dewan Rakyat atas faktor keselamatan dilihat tidak rasional dan tidak munasabah.

"Najib diiring ke mahkamah setiap hari, diiringi dua atau tiga orang. Najib juga diiring ketika pergi ke fasiliti kesihatan di Cheras, untuk rehabilitasi.

"Tidak ada pun isu keselamatan berbangkit dalam hal ini. Najib boleh diiring masuk Parlimen ke tempat duduknya untuk menyertai sesi debat dan pembentangan bajet," katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, permohonan itu tidak lagi terpakai kerana bekas Perdana Menteri itu, bukan lagi Ahli Parlimen Pekan.

Beliau berkata, permohonan itu bersifat akademik selepas Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Oktober lalu, sekali gus menyebabkan Najib menjadi penyandang kerusi Parlimen berkenaan.

Katanya, fakta pembubaran Dewan Rakyat yang boleh dilihat menerusi pelbagai laporan berita tidak boleh dipertikai.

"Fakta lebih penting ialah pengisytiharan pembubaran Parlimen sudah diwartakan. Kami berhujah mahkamah harus mengambil maklum mengenai notis kehakiman pada pewartaan itu.

"Untuk menyokong hujahan itu, kami merujuk kepada Subseksyen 57 (1) (a) Akta Keterangan 1950. Kesimpulannya, AGC berharap permohonan semakan itu ditolak kerana remeh dan menyusahkan," katanya.

Susulan itu, Muhammad Shafee menegaskan tidak mengetahui sama ada Najib, akan menjadi prospektif (bakal) calon kerusi Parlimen Pekan.

Katanya, isu prospektif itu berbangkit, namun permohonan semakan kehakiman berkenaan mengikut Seksyen 31 Akta Penjara 1995 tidak hanya berkisarkan kepada kebenaran menghadiri Dewan Rakyat semata-mata.

"Seorang banduan boleh membuat permohonan munasabah untuk diiring dan dibawa ke sesuatu tempat, dalam kes ini Parlimen, namun boleh ke tempat lain," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan keputusan permohonan semakan kehakiman itu pada 27 Oktober ini.

Menerusi notis permohonan semakan kehakiman itu, Najib yang bertindak sebagai pemohon, menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden.

Bekas Perdana Menteri itu memohon antaranya perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara, yang tidak membenarkannya mendapatkan akses kepada pegawai atau pembantu bagi tujuan menjalankan kerja di kawasan Parlimennya.

Najib juga memohon perintah sama untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak membenarkannya hadir pada persidangan Dewan Rakyat.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara melalui Penjara Kajang pada 28 September lalu, menyampaikan keputusan menolak permohonannya untuk menghadiri sidang Parlimen atas alasan keselamatan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Najib mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri pada 30 September lalu dan oleh kerana sidang bermula pada 3 Oktober lalu, beliau memohon supaya keputusan dipercepatkan.

Oleh kerana tiada sebarang jawapan, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Berita Harian X