Jumaat, 2 September 2022 | 4:46pm

Pondok dijadikan makmal mini dadah dalam hutan di Segambut diserbu

KUALA LUMPUR: Satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang tumpas berikutan penahanan tiga lelaki selepas polis menyerbu sebuah pondok di dalam hutan di Segambut, Rabu lalu.

Penahanan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 51 tahun itu dilakukan dalam serbuan jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata sindiket dadah dianggotai tiga lelaki tempatan itu dipercayai aktif memproses dan mengedar dadah sejak Januari lalu.

"Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan turut membawa kepada penemuan dadah ketamin seberat 3,631 gram, kafien (14,136 gram), heroin (111 gram) dan methamphetamin (0.13 gram).

"Selain itu, kami juga menemui pelbagai jenis bahan kimia dalam bentuk cecair dan serbuk serta peralatan memproses atau memasak dadah," katanya pada sidang media di IPD Sentul, petang tadi.

Eng Lai berkata, pihaknya juga merampas tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal, satu jam tangan berjenama serta barang kemas dalam serbuan itu.

Katanya, semua dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 8,939 penagih dan dianggarkan bernilai RM220,950.

"Hasil siasatan mendapati suspek mempelajari cara untuk memproses dadah melalui rakannya ketika berada di dalam penjara dan berdasarkan bahan kimia yang dirampas, kita percaya kebanyakan dadah yang diproses adalah heroin sebelum dijual kepada kenalan di sekitar Lembah Klang.

"Kami masih menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan bahan kimia serta dadah berkenaan, selain mengenal pasti saki-baki kumpulan terbabit," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek berkenaan positif dadah methamphetamin.

"Semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 7 Ogos nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan barangan rampasan makmal dadah dan bahan kimia yang dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Segambut ketika sidang media di IPD Sentul, Kuala Lumpur. NSTP/Aizuddin Saad
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan barangan rampasan makmal dadah dan bahan kimia yang dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Segambut ketika sidang media di IPD Sentul, Kuala Lumpur. NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X