Khamis, 1 September 2022 | 11:42am
Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Pasangan suami isteri maut, kereta terbabas bahu jalan

KAMPAR: Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan di Kilometer (km) 292.4 Lebuhraya Utara-Selatan (LRUS) hala utara di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata pihak polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan kemalangan pada jam 12.34 tengah malam tadi.

"Kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki mangsa pasangan suami isteri itu terbabas sendiri.

"Pemandu, Tsia Kwai Weng, 61, yang cedera parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut, namun dimaklumkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Unit Kecemasan hospital berkenaan pada jam 5.40 pagi tadi.

"Manakala penumpang Hooi Lai Kwean, 53, maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

Beliau berkata, punca kematian mangsa masih belum diketahui dan bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kampar bermula jam 9 pagi ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihak Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan pada jam 12.02 tengah malam sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Myvi terbabas ke bahu jalan dan melanggar papan tanda.

"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas seterusnya menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulans, manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, keseluruhan operasi tamat pada jam 1.29 pagi.

Berita Harian X