Khamis, 29 September 2022 | 3:35pm

AGC mohon Lokman Adam dipenjara lebih lama

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon hukuman penjara lebih daripada tempoh sebulan dijatuhkan kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman sebulan terhadap Lokman pada tahun lalu, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar, berkata tempoh penjara sebulan tidak memadai bagi melindungi integriti sistem kehakiman dan memberi pengajaran kepada orang awam.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan hukuman penjara minimum tiga bulan sebagai indikasi tiada toleransi diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghina mahkamah.

"Kita tidak bertoleransi terhadap tindakan mengkritik saksi yang memberi kenyataan dalam mahkamah, Lokman membuat kenyataan dalam temu bual yang menjejaskan undang-undang.

"Saksi ke mahkamah untuk beri kenyataan dan mahkamah akan menjalankan tugasnya untuk menegakkan keadilan," katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan, di sini, hari ini.

Sementara itu, peguam bela Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon anak guamnya tidak dipenjara, sebaliknya memadai sekadar didenda maksimum RM2,000.

Katanya, laporan polis dibuat Lokman terhadap saksi itu yang juga bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin juga tidak boleh diklasifikasikan sebagai tindakan menghina mahkamah dan mewujudkan ancaman.

"Lokman hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang awam apabila Amhari melalui keterangannya mengakui menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Bagaimana perkara itu (laporan polis) mengancam saksi? Hujahan saya ialah Lokman mempunyai keistimewaan mutlak untuk membuat laporan polis, laporan itu benar dan bukan palsu.

"Mahkamah Persekutuan perlu melihat dakwaan menghina mahkamah mengikut undang-undang dan mahkamah perlu sahkan jika wujud elemen itu dalam kes ini," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan Isnin depan untuk sebutan kes seterusnya menerusi aplikasi Zoom.

Pada 15 Julai tahun lalu, Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi menjurus kepada intimidasi dan ancaman serta menghina mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Shafee, supaya hukuman penjara itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pada prosiding rayuan sebelum ini, Muhammad Shafee memohon supaya Lokman tidak dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan.

Katanya, ia adalah kesalahan pertama Lokman dan tiada sebarang kontak fizikal berlaku dalam kes ini, selain saksi tidak pernah mengadu diancam atau berasa diancam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, membantah rayuan itu dengan menyatakan Lokman tidak pernah menunjukkan sebarang kekesalan.

Katanya, mahkamah sebelum ini, menjatuhkan hukuman penjara antara empat hingga enam bulan bagi kesalahan menghina mahkamah dan atas sebab itu, Lokman perlu dipenjara.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman, kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Tommy dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Tommy pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Tommy berkata, pada hari sama Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.

Bekas MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto fail NSTP
Bekas MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto fail NSTP
Berita Harian X